Annuar Musa jadi Pengarah Pilihan Raya Pas di Johor

Bekas Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa yang menyertai Pas pada 2023 kini dilantik sebagai Pengarah Pilihan Raya parti bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16.

Pelantikan itu dibuat bagi memperkukuhkan gerak kerja parti menjelang pilihan raya yang dijangka berlangsung dalam masa terdekat, kata Ketua Penerangan Pas Johor, Mohd Firdaus Jaffar.

Menurutnya, Pas negeri itu menyambut baik pelantikan tersebut dan yakin pengalaman serta kepimpinan Annuar akan membantu memperkukuhkan persiapan dan penyelarasan gerak kerja menghadapi PRN Johor ke-16.

“Menjelang pilihan raya yang semakin hampir, seluruh jentera Pas Johor diseru untuk terus memperkukuhkan kesatuan saf, memantapkan gerak kerja serta memberikan tumpuan sepenuhnya kepada persiapan pilihan raya,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

DUN Johor dibubarkan berkuat kuasa 1 Jun lalu selepas mendapat perkenan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mempunyai tempoh 60 hari bagi melaksanakan PRN.

Pas pada masa ini hanya memiliki satu daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu di Maharani.

BACA JUGA Tiada elemen ugutan jenayah, siasatan terhadap Azam Baki ditutup