Jomo : Perang bukan sekadar peluru, tapi boleh kosongkan pinggan makan dunia

Konflik geopolitik yang semakin memuncak di beberapa rantau dunia bukan sahaja mengancam keamanan antarabangsa, malah berpotensi mencetuskan krisis makanan yang lebih serius, terutama kepada negara-negara membangun yang bergantung kepada import.

Amaran itu terkandung dalam laporan terbaharu The New Geopolitics of Food: Navigating Policies for Resilient Self-Reliance oleh IPES-Food, yang menggesa negara-negara mengubah pendekatan kepada sistem makanan yang lebih berdaya tahan dan kurang bergantung kepada pasaran global.

Menurut laporan itu, perubahan geopolitik sepanjang empat dekad lalu telah mengubah landskap bekalan makanan dunia. Sekatan ekonomi, perang, pertikaian perdagangan, perubahan iklim dan penguasaan korporat kini menjadi faktor utama yang menentukan sama ada makanan boleh sampai kepada pengguna atau sebaliknya.

Penulis laporan, Jomo Kwame Sundaram dan Felice Noelle Rodriguez, berkata sistem rantaian bekalan moden yang bergantung kepada konsep “just-in-time” menjadikan bekalan makanan lebih mudah terganggu apabila berlaku konflik atau bencana.

“Kenaikan harga makanan sejak 2020 bukan sekadar berpunca daripada pandemik COVID-19, tetapi juga akibat perang di Ukraine, konflik di Iran serta gangguan terhadap laluan perdagangan dan bekalan baja,” menurut laporan itu.

Negara miskin yang mengimport makanan menjadi antara pihak paling terkesan apabila bil import meningkat secara mendadak, sekali gus memburukkan lagi beban hutang dan tekanan inflasi.

Laporan itu turut menyatakan bahawa pengurangan bantuan oleh negara-negara penderma utama memberi kesan besar kepada kawasan konflik seperti Sudan, Palestin, Afghanistan dan Republik Demokratik Congo, sekali gus meningkatkan risiko kebuluran.

Selain itu, penumpuan kuasa kepada beberapa syarikat besar dalam sektor makanan dan baja menyebabkan turun naik harga menjadi lebih ketara, sementara pengeluar kecil semakin terpinggir.

Bagi mengurangkan risiko tersebut, IPES-Food mencadangkan konsep “resilient self-reliance” atau kebergantungan kendiri yang berdaya tahan, iaitu menggabungkan pengeluaran domestik yang kukuh dengan kerjasama perdagangan serantau.

Antara langkah yang dicadangkan ialah menghidupkan semula stok simpanan makanan awam, menetapkan harga sokongan minimum kepada petani, mengawal bekalan strategik serta memperkukuh pasaran tempatan.

Laporan itu turut menjadikan India sebagai contoh apabila negara tersebut menggunakan sistem harga sokongan minimum dan pengagihan makanan bersasar untuk membantu kira-kira dua pertiga penduduknya serta mengurangkan kesan turun naik harga antarabangsa.

Di Afrika Barat pula, blok ECOWAS telah mewujudkan Rizab Keselamatan Makanan Serantau bagi membolehkan negara anggota berkongsi stok makanan ketika berlaku krisis.

Menurut penulis, walaupun dasar pengurusan pasaran memerlukan kos yang tinggi dan berdepan cabaran pelaksanaan, pendekatan itu lebih mampu menjamin kestabilan bekalan makanan berbanding pergantungan penuh kepada pasaran global.

“Landskap geopolitik baharu bukan sahaja membawa ancaman krisis makanan, tetapi juga membuka peluang untuk membina sistem makanan yang lebih adil, mampan dan berdaya tahan,” kata laporan itu.

Malah, gangguan terhadap bekalan tenaga dan baja akibat krisis di Selat Hormuz boleh menjadi pemangkin kepada negara-negara membangun untuk mempercepatkan penggunaan tenaga boleh diperbaharui serta mengurangkan kebergantungan kepada import strategik.

BACA JUGA Tenat dah Pas ini, berpecah sesama Melayu Islam pun bertakbir