Selepas singkir Bersatu, Pas kuasai medsos PN : Hantaran ‘bukan tuan rumah’ cetus tanda tanya?
Di tengah-tengah kemelut hubungan antara Pas dan Bersatu, satu hantaran di laman Facebook rasmi Perikatan Nasional (PN) yang menyatakan “Gerakan dan MIPP bukan tetamu. Bersatu bukan tuan rumah” mencetuskan pelbagai tafsiran mengenai hala tuju gabungan pembangkang itu.
Hantaran tersebut dilihat sebagai mesej bahawa tiada mana-mana parti mempunyai kedudukan lebih dominan dalam PN, ketika gabungan itu berdepan episod baharu selepas Pas memutuskan kerjasama politik dengan Bersatu.
“Kita semua memiliki parti gabungan ini. Kita tidak boleh merasakan sesiapa lebih besar secara individu dalam parti gabungan ini kerana kita adalah Perikatan Nasional,” menurut kenyataan yang dimuat naik di akaun rasmi PN.
Mesej itu segera mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan pengguna media sosial, terutama apabila hubungan Pas dan Bersatu menjadi perhatian selepas keputusan mengejut Pas menamatkan kerjasama politik dengan parti pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin itu.
Ramai pemerhati melihat hantaran tersebut sebagai cubaan menegaskan bahawa PN adalah milik semua parti komponennya dan bukannya dikuasai oleh mana-mana satu parti, sekali gus mencetuskan persoalan mengenai keseimbangan kuasa dalam gabungan tersebut.
Terdahulu, Ketua Penerangan PN, Tan Sri Annuar Musa berkata gabungan itu akan mengadakan perbincangan segera bersama parti-parti komponen susulan keputusan Pasmenghentikan kerjasama politik dengan Bersatu.
Perkembangan itu berlaku ketika masa depan PN menjadi tanda tanya menjelang pilihan raya akan datang, dengan pelbagai spekulasi mengenai bentuk kerjasama baharu yang bakal dibentuk.
Untuk rekod, selepas Pas memutuskan hubungan politik dengan Bersatu pada 8 Jun lalu, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Dr Afif Bahardin menggesa Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, kembali menerajui Perikatan Nasional.
Muhyiddin sebelum ini melepaskan jawatan sebagai Pengerusi PN berkuat kuasa 1 Januari lalu selepas memimpin gabungan itu sejak 7 Ogos 2020.
Pada Februari lalu pula, Naib Presiden Pas yang juga Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, dilantik sebagai Pengerusi PN yang baharu.
Dengan Pas kini memegang jawatan pengerusi gabungan dan hantaran rasmi PN yang menegaskan tiada parti menjadi “tuan rumah”, perhatian kini tertumpu kepada bagaimana kepimpinan baharu akan menyusun semula hubungan antara parti-parti komponen dalam menghadapi cabaran politik akan datang.
BACA JUGA Anwar mahu Asia jadi ‘jambatan’, bukan medan pertempuran