Flat haram dihuni etnik Rohingya di Hulu Langat akhirnya bakal dirobohkan

Di media sosial kecoh selepas penyampai radio, Azad Jasmin, mendedahkan kewujudan bangunan misteri empat tingkat yang kelihatan uzur di Hulu Langat

Bangunan di Kampung Baru Sungai Makau itu dipercayai didiami secara tidak sah oleh etnik Rohingya.

Berikutan kes itu, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari memaklumkan bahawa bangunan bertingkat itu akan dirobohkan mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.

Sebahagian besar struktur bangunan tersebut didirikan di atas lot tanah milik persendirian, manakala sebahagian kecil lagi berada dalam kawasan rizab jalan.

“Berhubung dengan bangunan kediaman bertingkat yang dimaksudkan, satu tindakan perobohan akan dilaksanakan mengikut undang-undang yang berkuat kuasa,” katanya ketika berkongsi kenyataan Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Hulu Langat semalam.

Amirudin berkata, terdapat beberapa struktur bangunan kediaman yang didirikan secara tidak sah dan pernah didiami oleh penduduk etnik Rohingya di atas lot tersebut serta lot bersebelahan yang merupakan rizab sungai. 

Jelasnya, PDT Hulu Langat telah mengeluarkan Notis Amaran Pendudukan Secara Tak Sah kesalahan di bawah Seksyen 425 Kanun Tanah Negara (Akta 828) kepada pemilik-pemilik struktur tersebut pada 2017, 2020, 2021 dan 13 Mac 2025.

Satu tindakan perobohan melalui operasi bersepadu juga telah dilaksanakan pada 2017 oleh PDT Hulu Langat bersama enam agensi lain.

Agensi yang terlibat ialah Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Majlis Perbandaran Kajang (MPKJ), Jabatan Kerja Raya (JKR), Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

Pada masa sama, MPKJ telah mengeluarkan Notis dan tawaran kompaun di bawah kesalahan Seksyen 70(1) dengan arahan di bawah Seksyen 72(1)(b)(c) Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974 pada tahun 2016, 2017, 2019 dan 2021.

BACA JUGA Lawatan PMX ke Jepun kali ini bukan biasa-biasa, kenapa?