Albert Tei tiba-tiba muncul ketika sidang media, Syam Ghaz pergi bersemuka
Ahli perniagaan kontroversi, Albert Tei secara tiba-tiba muncul ketika Ketua Pengarah JKOM baharu, Mohd Hisyamuddin Ghazali sedang mengadakan sidang media di hadapan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya.
Mohd Hisyamuddin atau Syam Ghaz sebelum itu membuat laporan polis terhadap Albert Tei yang didakwa mencetuskan provokasi di bangunan kerajaan dan mengganggu ketenteraman awam.
Tei bersama beberapa individu secara tiba-tiba muncul pada sesi sidang media berkenaan dan mengajukan beberapa soalan antaranya bertanyakan apa bentuk gangguan yang dilakukannya.
Bagaimanapun, Syam Ghaz sekadar berkata, beliau akan cuba menyediakan pentas supaya mereka boleh mengadakan debat.
“Saya akan sediakan pentas, kita dua berdebat. Soalan tu awak simpan, kita debat berdua,” katanya.
Dalam video berasingan dikongsikan Syam Ghaz, beliau sempat bersemuka dengan Albert Tei dan mereka berjabat tangan.
Ahli perniagaan itu kedengaran berkata “kita profesional” dan kemudian mengajak untuk bergambar bersama .
Syam Ghaz membuat laporan polis terhadap Albert Tei susulan dakwaan terbuka dibuatnya antaranya mendakwa wujud campur tangan Kementerian Komunikasi dalam isu sekatan akaun media sosial miliknya.
Selain itu, dia turut mengeluarkan pelbagai kenyataan yang boleh menimbulkan persepsi negatif terhadap institusi kerajaan tanpa disokong oleh bukti yang sah dan disahkan oleh pihak berkuasa.
BACA JUGA Cetuskan provokasi di bangunan kerajaan, KP JKOM buat laporan polis terhadap Albert Tei