Istana Seri Menanti umum pewaris gelaran penting, Tunku Zain kini Tunku Panglima Besar
Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir hari ini memasyhurkan putera kedua baginda, Tunku Zain Al-‘Abidin, sebagai Tunku Panglima Besar Negeri Sembilan dalam satu istiadat penuh adat istiadat di Balairong Seri, Istana Besar Seri Menanti.
Pemasyhuran itu sekali gus mengisi kekosongan Gelaran Pusaka Putera Yang Empat Tunku Panglima Besar yang sebelum ini disandang oleh Tunku Datuk Seri Nadzaruddin ibni Almarhum Tuanku Ja’afar.
Turut berangkat pada istiadat tersebut ialah Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud dan Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin Tuanku Muhriz.
Istiadat dimulakan dengan Tuanku Muhriz berkenan mengisytiharkan serta menyerahkan watikah pelantikan Gelaran Pusaka Tunku Panglima Besar kepada Tunku Zain Al-‘Abidin, disaksikan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun serta ketua-ketua jabatan kerajaan negeri.
Dalam kenyataan selepas istiadat, Pengelola Bijaya Diraja Datuk Azizi Mohamad Ali memaklumkan Tuanku Muhriz menzahirkan keyakinan bahawa Tunku Zain Al-‘Abidin akan terus memainkan peranan penting dalam menjunjung kedaulatan Institusi Diraja Negeri Sembilan di samping memelihara kepentingan rakyat dan negeri.
Berusia 44 tahun, Tunku Zain Al-‘Abidin dikenali sebagai tokoh yang aktif memperjuangkan pemulihan perlembagaan serta reformasi institusi di Malaysia dengan penekanan kepada peluang yang lebih adil dan saksama untuk semua rakyat.
Baginda mendapat pendidikan di Sekolah Alice Smith Kuala Lumpur, Marlborough College di United Kingdom serta London School of Economics and Political Science sebelum memperoleh Ijazah Sarjana Sains (MSc) dalam bidang Politik Perbandingan.
Dalam bidang akademik, baginda kini berkhidmat sebagai Canselor Universiti UCSI, Pro-Canselor Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Presiden Kolej ICAN, selain Felo Diraja Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Felo Bersekutu Universiti Teknologi MARA (UiTM).
Tunku Zain Al-‘Abidin juga memainkan peranan aktif dalam sektor pendidikan dan kebajikan sebagai Pemegang Amanah Yayasan Jeffrey Cheah serta Penaung Program Seni dan Kebudayaan Sekolah-Sekolah Negeri Sembilan yang memberi tumpuan kepada akses pendidikan berkualiti dan pembangunan kepimpinan generasi muda.
Selain merupakan Presiden Pengasas Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS), baginda turut mengasaskan IDEAS Autism Centre yang kini mengendalikan tiga pusat di Rawang, Nilai dan Port Dickson, selain IDEAS International Secondary School yang mempunyai kampus di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.
Dalam sektor korporat, baginda memegang pelbagai jawatan termasuk Pengerusi Omesti Berhad, Excelerate Malaysia dan EnotechPictures serta menganggotai lembaga beberapa syarikat dan institusi termasuk Deutsche Bank Malaysia, Prima Gading Corporation dan Uni Enrol.
Sejak 2008, baginda juga aktif menulis ruangan akhbar dan menerbitkan beberapa buku hasil kompilasi tulisan, selain pernah berkhidmat dengan Parlimen United Kingdom, Bank Dunia dan Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP).
Di luar bidang akademik dan pentadbiran, Tunku Zain Al-‘Abidin merupakan penyokong kuat seni dan budaya, seorang pemain piano yang pernah membuat persembahan bersama Orkestra Filharmonik Malaysia serta aktif dalam pembangunan sukan raket di Negeri Sembilan sebagai Presiden Emeritus Persatuan Squash Negeri Sembilan dan Penasihat Persatuan Tenis serta Persatuan Pickleball negeri itu.
BACA JUGA Agong tarik gelaran Tan Sri dari Isa Samad