Pemuda DAP cadang PH tanding solo untuk PRN, PRU16

Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) Kebangsaan mencadangkan agar Pakatan Harapan (PH) bertanding sendiri untuk semua kerusi dalam pilihan raya akan datang.
Ketuanya, Woo Kah Leong berkata, untuk membolehkan menang besar, PH perlu bertanding tanpa kerjasama mana-mana parti di kerusi Parlimen dan DUN.
Beliau berkata demikian semasa berucap di Majlis Makan Malam Media sempena Aidiladha anjuran DAPSY di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur sebentar tadi.

“Kalau kita ingin memenangi PRU16, pastikan PH kena bertanding sendiri di semua negeri dan di semua kawasan Parlimen,” ujarnya.
Hal ini, kata beliau, terdapat tiga kelompok pengundi di negara ini dengan kecenderungan berbeza antara satu sama lain.
“Pengundi di Malaysia terbahagi kepada tiga kelompok iaitu konservatif. Satu lagi kelompok yang selesa dengan zaman satu parti dominan seperti penyokong BN.
“Satu kelompok lagi berharapkan perubahan dan reformasi.
“Daripada memaksa-maksa antara satu kelompok dengan kelompok yang lain, bagi saya lebih baik PH menampilkan identiti sendiri,” jelasnya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Bedamar itu berpendapat rakyat boleh menilai PH sama ada dapat menunaikan semua perkara yang dijanjikan sekiranya gabungan tersebut diberi sekali lagi peluang dan mandat di Putrajaya.
“Sebabnya, sekarang dalam kerangka Kerajaan Perpaduan, kita ada pelbagai parti.
“Ada BN. Ada GPS (Gabungan Parti Sarawak) yang membawa agenda Sarawak.
“Ada GRS (Gabungan Rakyat Sabah) yang membawa agenda Sabah, dan bermacam-macam lagi. Semuanya ada identiti yang berbeza.
“Daripada membiarkan keadaan sedemikian terus berlaku, lebih baik PH menampilkan diri untuk bertanding sebagai satu blok yang cukup kuat supaya kita boleh melaksanakan usaha-usaha reformasi yang rakyat inginkan,” tegas Kah Leong yang juga Exco Kerajaan Negeri Perak itu lagi.
BACA JUGA Beranikah Pas Selangor cabar Azmin? Pemuda AMANAH desak jawapan terbuka