‘Integriti bukan slogan’ – PMX mahu SPRM bertindak tanpa kompromi
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa agenda memperkukuh tatakelola, integriti dan reformasi institusi akan terus menjadi keutamaan Kerajaan MADANI dalam usaha membina Malaysia yang lebih adil, telus dan berdaya saing.
Ketika menerima kunjungan hormat Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Abdul Halim Aman, Anwar berkata usaha membanteras rasuah tidak boleh dilihat sekadar sebagai tanggungjawab sebuah agensi, sebaliknya menjadi asas penting kepada pembangunan negara.
Menurut beliau, integriti bukan sekadar tuntutan dalam perkhidmatan awam, malah merupakan faktor utama bagi menjamin keyakinan rakyat serta meningkatkan kepercayaan pelabur terhadap Malaysia.
“Integriti bukan sekadar tuntutan dalam perkhidmatan awam, tetapi asas penting bagi menjamin keyakinan rakyat, menarik pelaburan berkualiti serta menentukan masa depan negara yang lebih mampan,” katanya menerusi hantaran di media sosial.
Anwar turut menegaskan bahawa Kerajaan MADANI akan terus memperkasakan SPRM sebagai sebuah institusi yang berwibawa dan dihormati dalam usaha membanteras rasuah tanpa sebarang kompromi.
Beliau berkata, pengukuhan institusi dan reformasi tadbir urus merupakan antara teras penting bagi memastikan kemakmuran negara dapat dinikmati oleh generasi masa kini dan akan datang.
Menurut Perdana Menteri, pembinaan sebuah negara yang berdaya saing bukan sahaja bergantung kepada kekuatan ekonomi, malah memerlukan sistem pentadbiran yang telus, berintegriti dan bebas daripada amalan rasuah.
BACA JUGA MN 2.0? Puad beri amaran: ‘Jangan kahwin mutaah dalam politik’