Bukit Batu buka tirai PRN Johor, PH umum calon pertama
Pakatan Harapan (PH) memulakan langkah awal menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dengan mengumumkan penyandang kerusi N.51 Bukit Batu, Arthur Chiong Sen Sern, sebagai calon pertama gabungan itu untuk mempertahankan kerusi berkenaan.
Pengumuman tersebut dibuat Setiausaha PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, ketika berucap pada satu program di Bukit Batu yang tetap mendapat sambutan walaupun hujan.
Menurut beliau, kehadiran penduduk yang sanggup bertahan dalam keadaan cuaca kurang baik mencerminkan keprihatinan mereka terhadap masa depan kawasan tersebut.
“Melihatkan semangat warga Bukit Batu yang sanggup bertahan walaupun hujan, saya rasa tidak mengapalah kalau saya pun basah sedikit.
“Melihat kehadiran malam ini, saya tahu rakyat Bukit Batu sentiasa mengikuti perkembangan dan masa depan kawasan mereka,” katanya.
Beliau berkata, atas keyakinan itu, PH memutuskan untuk menamakan Arthur sebagai calon bagi mempertahankan kerusi N.51 Bukit Batu pada PRN Johor kali ini.
Saifuddin berkata beliau sendiri telah meneliti rekod perkhidmatan Arthur sepanjang menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan berkenaan.
Menurutnya, walaupun masih terdapat ruang untuk penambahbaikan, Arthur telah menunjukkan komitmen yang baik dalam melaksanakan amanah yang diberikan oleh rakyat.
“Sudah tentu masih ada ruang yang boleh diperbaiki, tetapi saya percaya beliau telah menunjukkan komitmen yang baik dalam menjalankan amanah yang diberikan oleh rakyat,” katanya.
Beliau turut menyatakan keyakinan bahawa sokongan yang ditunjukkan pada program tersebut akan diterjemahkan di peti undi, sekali gus membolehkan Bukit Batu terus kekal di bawah Pakatan Harapan.
BACA JUGA RENCANA | PRN Johor dan Negeri Sembilan: Politik kuasa mengatasi integriti?