Penempatan Rohingya di Sungai Makau diroboh, kawasan sudah lama kosong 

Struktur bangunan yang pernah menjadi penempatan etnik Rohingya di Sungai Makau, Jalan Sungai Tekali mula dirobohkan oleh pemilik tanah, lebih setahun selepas operasi bersepadu dilaksanakan pihak berkuasa bagi mengosongkan kawasan berkenaan.

Perkembangan itu disahkan selepas Ahli Parlimen Hulu Langat, Mohd Sany Hamzan, turun meninjau lokasi berkenaan susulan menerima makluman daripada Ketua Kampung Baru Cina, Tok Chong mengenai kerja-kerja perobohan yang sedang dijalankan.

Menurut Tok Chong, proses perobohan dijangka mengambil masa kira-kira dua minggu memandangkan penggunaan jentera yang lebih sesuai diperlukan bagi merobohkan keseluruhan struktur di kawasan tersebut.

Beliau turut memaklumkan bahawa kawasan itu telah lama tidak dihuni dan tiada lagi etnik Rohingya menetap di situ sejak operasi bersepadu yang dilaksanakan oleh beberapa agensi kerajaan pada awal tahun 2025.

Kawasan Sungai Makau sebelum ini pernah menjadi perhatian umum susulan kewujudan penempatan warga Rohingya yang dibina di atas tanah persendirian. Isu berkenaan turut mencetuskan pelbagai perbincangan dalam kalangan penduduk tempatan berkaitan aspek keselamatan, kebersihan dan status penempatan warga asing.

Pada awal tahun 2025, pihak berkuasa termasuk agensi penguat kuasa berkaitan telah menjalankan operasi bersepadu bagi menangani isu tersebut. Operasi itu membawa kepada pengosongan kawasan berkenaan dan penempatan tersebut tidak lagi dihuni sejak itu.

Tinjauan Mohd Sany ke lokasi berkenaan dibuat bagi mendapatkan perkembangan terkini mengenai kerja-kerja perobohan serta memastikan proses tersebut berjalan lancar.

Perobohan struktur berkenaan dilihat sebagai langkah terakhir dalam menamatkan kewujudan penempatan yang pernah menjadi antara isu setempat paling mendapat perhatian di Hulu Langat dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

BACA JUGA BUDI95: Prihatin tugas wartawan, Fuziah mahu jumpa Kementerian Kewangan