Tak perlulah sampai menipu, Dr Rosli tak pernah jadi pengerusi AMANAH NS

Dakwaan bahawa individu yang menyertai Pas pada satu majlis malam tadi merupakan bekas Pengerusi AMANAH Negeri Sembilan disifatkan sebagai tidak benar oleh Senator Hasbie Muda.

Hasbie yang juga Ketua Pemuda AMANAH menyifatkan tindakan itu sebagai cubaan mengelirukan orang ramai.

Menurut Hasbie, Dr Rosli Yaakob yang diumumkan menyertai Pas bukanlah bekas Pengerusi AMANAH Negeri Sembilan seperti yang digambarkan.

“Nampaknya Pas terlalu terdesak sehingga terpaksa menipu,” katanya dalam satu kenyataan di media sosial hari ini.

Beliau menjelaskan bahawa jawatan Pengerusi AMANAH Negeri Sembilan sebelum ini hanya pernah disandang oleh Allahyarham Datuk Zulkefly Mohamad Omar, manakala penyandang ketika ini ialah Datuk MK Ibrahim.

“Dr Rosli Yaakob yang diwar-warkan sertai Pas malam tadi bukanlah bekas Pengerusi AMANAH Negeri Sembilan.

“Bekas Pengerusi AMANAH Negeri Sembilan hanya ada seorang iaitu Almarhum Datuk Zulkefly Mohamad Omar. Pengerusi AMANAH Negeri Sembilan pada masa ini pula ialah Datuk MK Ibrahim,” katanya.

Kenyataan itu dibuat susulan hebahan mengenai penyertaan Dr Rosli ke dalam Pas yang dikatakan sebagai satu kejayaan parti itu menarik bekas pemimpin AMANAH menjelang persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN).

Hasbie bagaimanapun menggesa pihak berkenaan tidak memanipulasi latar belakang seseorang bagi tujuan propaganda politik.

“Tak perlulah sampai menipu,” tegasnya.

Antara nama yang diumumkan menyertai Pas ialah bekas Exco Kerajaan Negeri Sembilan dan bekas ADUN Ampangan, Datuk Dr Mohamad Rafie Abdul Malek; bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang), Datuk Mohd Zaid Ibrahim; serta bekas pegawai kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim, Rahimi Osman. 

BACA JUGA Menteri KPT tak mahu jawab, hanya kongsikan respon Naib Canselor UPSI