PRN Johor: Antara teruskan kesilapan Umno vs pulihkan negara
Oleh SHEIKH OMAR ALI
PRN Johor bukan sekadar sebuah pilihan raya negeri. Ia adalah sebahagian daripada momentum politik yang sedang dibina oleh Umno untuk kembali menjadi kuasa dominan di Malaysia.
Umno merupakan sebuah parti yang mempunyai sejarah panjang dalam pembangunan negara. Banyak kemajuan yang dicapai Malaysia selepas merdeka berlaku ketika Umno menerajui kerajaan.
Namun dalam masa yang sama, penguasaan politik yang terlalu lama turut melahirkan pelbagai masalah yang akhirnya menimbulkan keresahan rakyat.
Masalah tersebut termasuk budaya rasuah, ketirisan pengurusan dana awam, kelemahan institusi, peningkatan beban hutang negara, campur tangan politik dalam institusi penguatkuasaan serta penyempitan ruang demokrasi dan semak imbang.
Selama puluhan tahun, pelbagai pihak cuba membetulkan keadaan ini. Parti-parti politik pembangkang, golongan intelektual, aktivis masyarakat sivil, NGO dan rakyat biasa berusaha membawa perubahan. Namun usaha tersebut sering berdepan pelbagai kekangan dan tidak mencapai kejayaan yang mencukupi.
SKANDAL 1MDB
Keadaan mula berubah apabila skandal 1MDB muncul sebagai salah satu skandal kewangan terbesar dalam sejarah negara.
Ketika skandal tersebut mula didedahkan, ramai yang menafikannya. Ada yang menganggapnya sebagai fitnah politik. Ada yang percaya ia hanyalah propaganda pihak pembangkang untuk menjatuhkan kerajaan.
Namun isu tersebut terus berkembang sehingga akhirnya menjadi faktor penting yang menyatukan pelbagai kelompok rakyat dan parti politik untuk menamatkan dominasi Umno-BN pada PRU 2018.
Pada ketika itu, pelbagai tokoh daripada latar belakang berbeza memilih untuk mengenepikan perbezaan demi menyelamatkan negara.
Tun Dr Mahathir Mohamad yang telah bersara kembali aktif dalam politik. Tan Sri Muhyiddin Yassin pula dipecat daripada Umno selepas mengkritik kepimpinan ketika itu sebelum menubuhkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia. Pemimpin-pemimpin pembangkang turut berganding bahu membentuk satu gerakan besar untuk membawa perubahan.
Akhirnya pada tahun 2018, rakyat Malaysia berjaya memecahkan hegemoni politik yang telah bertahan selama puluhan tahun.
Selepas pertukaran kerajaan berlaku, suasana politik dan institusi menjadi lebih terbuka. Siasatan terhadap skandal 1MDB dapat dijalankan dengan lebih bebas. Kes-kes yang sebelum ini sukar disentuh akhirnya dibawa ke mahkamah.
Hasilnya, rakyat dapat melihat sendiri proses keadilan berjalan. Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak disabitkan kesalahan dalam kes SRC International (hukuman 12 tahun penjara dan denda RM210 juta) serta 1MDB (hukuman 15 tahun penjara dan denda RM11.4 bilion).
Pengajarannya cukup jelas. Malaysia boleh diperbaiki apabila rakyat berani melakukan perubahan dan apabila kuasa politik tidak dimonopoli oleh mana-mana pihak tanpa semak dan imbang yang berkesan.
Namun usaha tersebut masih belum selesai.
Selepas tahun 2020, landskap politik negara sekali lagi berubah. Pergolakan politik yang berlaku menyebabkan agenda perubahan dan reformasi yang diharapkan rakyat menjadi terganggu.
Dalam keadaan tersebut, Umno mengambil kesempatan untuk mengukuhkan semula kedudukannya melalui Pilihan Raya Negeri Melaka pada penghujung tahun 2021 dan Pilihan Raya Negeri Johor pada awal tahun 2022. Kedua-duanya berlaku sewaktu kekalutan Covid-19.
Walaupun Umno memperoleh kemenangan di beberapa pilihan raya negeri, rakyat Malaysia secara keseluruhannya tidak memberikan mandat mutlak kepada Umno dalam PRU 2022.
Sebaliknya, keputusan PRU 2022 menunjukkan rakyat memilih landskap politik yang lebih seimbang apabila sokongan terbesar diberikan kepada Pakatan Harapan dan Perikatan Nasional.
Malangnya, kegagalan membentuk persefahaman politik yang lebih awal menyebabkan negara terus berdepan ketidaktentuan politik.
Hari ini, usaha membanteras rasuah, memperkukuh institusi dan memperbaiki tadbir urus negara masih belum selesai.
Dalam beberapa bulan kebelakangan ini, pelbagai spekulasi dan perbahasan awam turut timbul mengenai kemungkinan pengampunan terhadap Datuk Seri Najib Razak. Walau apa pun pandangan, perbahasan tersebut menunjukkan bahawa isu keadilan dalam skandal 1MDB masih menjadi perhatian ramai.
JANGAN PANDANG MUDAH
Sebab itu rakyat tidak boleh memandang ringan perkembangan politik semasa, termasuk pembubaran Dewan Undangan Negeri Johor. PRN Johor perlu dilihat dalam konteks yang lebih besar daripada sekadar menentukan siapa mentadbir negeri.
Ia adalah sebahagian daripada persaingan menentukan hala tuju Malaysia pada masa hadapan. Jika Umno berjaya membina momentum politik yang besar melalui Johor, ia berpotensi menjadi asas kepada usaha yang lebih tersusun untuk kembali mendominasi politik negara.
Sebab itu pilihan raya ini perlu menjadi asas kepada rakyat mempertahankan semak dan imbang, integriti institusi serta usaha memerangi rasuah.
Dalam perjuangan ini, perbezaan politik perlu diketepikan sebagaimana yang pernah dilakukan pada tahun 2018. Semua pihak yang percaya kepada integriti, keadilan dan tadbir urus yang baik – sama ada parti politik, NGO, NGI, aktivis masyarakat sivil mahupun rakyat biasa – perlu berganding bahu mempertahankan masa depan negara.
Pada ketika ini, Pakatan Harapan dilihat sebagai wadah gabungan politik yang konsisten membawa agenda reformasi institusi, memperkukuh ekonomi negara serta meneruskan usaha memerangi rasuah.
Walau tidak sempurna dan masih mempunyai kelemahan yang perlu diperbaiki, gabungan ini merupakan pilihan terbaik untuk memastikan Malaysia terus bergerak ke hadapan tanpa kembali kepada budaya politik lama yang pernah ditolak rakyat.
Ini bukan soal kalah menang pilihan raya semata-mata. Ini adalah usaha bagi memastikan Malaysia tidak kembali kepada era yang pernah melahirkan skandal besar, merosakkan institusi negara dan menghakis kepercayaan rakyat terhadap sistem demokrasi.
Perjuangan menyelamatkan Malaysia masih belum selesai. Dan PRN Johor adalah medan penting untuk memastikan perjuangan tersebut dapat diteruskan sehingga tercapai matlamatnya.
- Penulis adalah Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan Johor.
BACA JUGA Kabel projek ECRL jadi sasaran di Kelantan, kerugian cecah RM20,000