Projek RM26 juta di Baling lindungi penduduk daripada tragedi kepala air
Kerajaan Persekutuan membuktikan komitmennya dalam memperkukuh keselamatan rakyat apabila projek Pembinaan Infrastruktur Sabo di Lembangan Sungai Kupang, Baling berjaya disiapkan setahun lebih awal daripada jadual asal, sekali gus menjadi benteng penting bagi mengurangkan risiko tragedi kepala air dan banjir lumpur di kawasan itu.
Perkembangan itu dimaklumkan Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) sempena lawatan kerja Timbalan Menterinya, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad, yang turut meninjau beberapa projek tebatan banjir dan bekalan air di Kedah hari ini.
Menurut PETRA, projek bernilai RM26.32 juta itu telah siap sepenuhnya pada Disember 2025, iaitu 12 bulan lebih awal daripada jadual pelaksanaan.
Projek berkenaan dilaksanakan sebagai langkah mitigasi khusus bagi menangani ancaman fenomena kepala air, banjir lumpur dan aliran puing yang berisiko tinggi di kawasan hulu Sungai Kupang.
Skop pelaksanaannya meliputi pembinaan dua struktur sabo, kerja-kerja pengaluran sungai, penstabilan tebing sungai, pembinaan laluan penyelenggaraan serta pemasangan sistem pemantauan dan amaran awal.
PETRA berkata, projek itu dijangka memberi perlindungan kepada lebih 5,000 penduduk serta kawasan seluas kira-kira 4,200 hektar, sekali gus mengurangkan risiko kemusnahan yang boleh mengancam nyawa dan menjejaskan aktiviti sosioekonomi masyarakat setempat.
Dalam lawatan sama, Abdul Rahman turut meninjau Projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Baling Fasa 1 bernilai RM15 juta, yang merupakan antara inisiatif utama kerajaan bagi mengurangkan risiko banjir di Pekan Kupang dan kawasan sekitarnya.
Projek yang dijangka siap pada Mei 2027 itu melibatkan kerja menaik taraf Sungai Kupang sepanjang 4.4 kilometer, pembinaan kolam takungan banjir, ban serta tembok perlindungan banjir, selain penaiktarafan struktur lintasan dan kerja-kerja berkaitan bagi meningkatkan kapasiti sistem saliran.
Apabila siap kelak, projek tersebut dijangka memberi manfaat kepada lebih 5,000 penduduk melalui pengurangan risiko banjir, peningkatan tahap keselamatan komuniti serta perlindungan terhadap harta benda dan infrastruktur awam.
Kedua-dua projek itu dilaksanakan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).
Sementara itu, Timbalan Menteri turut meninjau Projek Menaiktaraf Loji Rawatan Air (LRA) Bukit Selambau yang melibatkan kos RM147.78 juta.
PETRA memaklumkan projek berkenaan merupakan inisiatif strategik kerajaan untuk meningkatkan kapasiti pengeluaran air terawat bagi memenuhi keperluan semasa dan masa depan penduduk di Daerah Kuala Muda serta kawasan sekitarnya.
Menurut kementerian itu, usaha memperkukuh projek tebatan banjir, mitigasi bencana air dan penyediaan bekalan air terawat di seluruh negara adalah selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI yang memberi penekanan kepada kemampanan, kesejahteraan dan keselamatan rakyat melalui pembangunan infrastruktur yang berdaya tahan dan inklusif.
BACA JUGA Malaysia kini No.1 Asia Tenggara, jadi pilihan 42 juta pelancong