Anwar sambut baik persefahaman AS-Iran, gesa Selat Hormuz dibuka segera
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menyambut baik persefahaman yang dicapai antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran ke arah menamatkan permusuhan, sambil berharap memorandum persefahaman yang diumumkan akan dimeterai dalam beberapa hari lagi.
Beliau turut memuji usaha pengantaraan yang membawa kedua-dua pihak ke tahap tersebut, khususnya peranan yang dimainkan oleh Pakistan dalam memudahkan proses rundingan.
Menurut Anwar, pembukaan semula Selat Hormuz kepada pelayaran antarabangsa kini perlu diberi keutamaan tertinggi memandangkan laluan itu merupakan nadi penting kepada keselamatan tenaga global serta perdagangan antarabangsa.
“Gangguan yang berpanjangan terhadap laluan strategik itu tidak akan memberi manfaat kepada mana-mana pihak,” katanya dalam satu kenyataan.
Malaysia, kata beliau, menggesa semua pihak supaya bertindak dengan niat baik, bergerak tanpa sebarang kelewatan dan menterjemahkan persefahaman yang dicapai kepada satu penyelesaian damai yang berkekalan.
Pada masa sama, beliau menegaskan bahawa semua pihak yang terlibat serta aktor luar perlu mengelakkan sebarang tindakan yang boleh menggagalkan usaha diplomasi dan mencetuskan semula permusuhan.
“Malaysia bersedia untuk menyokong segala usaha ke arah keamanan yang adil dan berkekalan, serta menyeru masyarakat antarabangsa agar terus mengekalkan momentum ini,” katanya.
BACA JUGA Universiti jual tempat kepada orang kaya? KPT pertimbang tindakan undang-undang