Bersatu macam ada dalam rumah tapi terkunci dalam bilik tidur

Pas secara sinis menggambarkan kedudukan Bersatu dalam Perikatan Nasional (PN) yang disifatkan seperti berada di dalam rumah tetapi terkunci di dalam bilik tidur.

Bendahari Agung Pas, Datuk Iskandar Samad dilapor berkata, kedudukan parti yang diterajui Tan Sri Mahiaddin Yassin berkenaan kini ‘tidak dapat dipertahankan’.

Beliau menegaskan Bersatu sepatutnya memahami realiti politik dalam PN selepas Pas membuat keputusan untuk tidak lagi bekerjasama dengan parti itu.

Iskandar berkata, walaupun beliau tidak mahu mengulas aspek perlembagaan PN, realiti politik semasa menunjukkan Bersatu sukar untuk terus berfungsi secara berkesan dalam blok pembangkang itu.

“Mereka seperti berada di dalam rumah, tetapi terkunci di dalam bilik tidur. Walaupun masih di dalam rumah, mereka tidak dapat bergerak ke mana-mana.

“Bersatu tidak perlu bimbang kerana mereka masih ada Ikatan Prihatin Rakyat (IPR) sebagai tempat untuk bersandar,” katanya, dipetik FMT.

Semalam, bekas Setiausaha Sulit Mahiaddin, Datuk Dr Marzuki Mohamad berkata, parti anggota PN hanya boleh dipecat melalui tindakan disiplin dan mesti mendapat persetujuan sebulat suara presiden parti gabungan.

Marzuki berkata, menurut Fasal 7A Perlembagaan PN, hanya Majlis Presiden yang dianggotai oleh presiden-presiden parti anggota mempunyai kuasa untuk membuat keputusan muktamad mengenai perkara disiplin parti anggota.

BACA JUGA Oh patutlah MB Johor popular, banyak buat bayaran tu…