Tak mahu semeja dengan DAP tapi kini MB Johor dah duduk sebelah Anthony Loke

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi hari ini duduk bersebelahan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke pada Majlis Peluncuran Operasi Perkhidmatan Shuttle Selatan di Stesen Keretapi Kulai hari ini.

Penampilan Onn Hafiz yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor bersama Setiausaha Agung DAP berkenaan menarik perhatian ramai pihak memandangkan Onn sebelum ini pernah menegaskan enggan ‘duduk semeja’ dengan DAP.

Hal ini turut mengundang reaksi Pengarah Strategik DAP, Liew Chin Tong yang juga Ahli Parlimen Iskandar Puteri.

“Gembira melihat Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi, yang sebelum ini enggan duduk semeja dengan DAP, sudi hadir sama di majlis ini dan duduk bersebelahan dengan Menteri Pengangkutan Sdr Anthony Loke yang telah menjemput beliau.

“Semoga projek KTM Komuter ini memanfaatkan Bangsa Johor,” kata Chin Tong yang juga Timbalan Menteri Kewangan itu lagi.

Pada 7 Jun lalu, Onn ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera BN Negeri Johor menegaskan beliau tidak akan bekerjasama dengan DAP jika diberi mandat membentuk kerajaan negeri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16.

Onn yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap berkata, beliau lebih rela tidak memegang jawatan daripada duduk semeja dengan DAP.

Penegasan pemimpin BN berusia 47 tahun itu kemudian mengundang reaksi sinis Loke apabila menegaskan bahawa pendirian tersebut bercanggah dengan realiti kerjasama BN dengan DAP di peringkat Persekutuan.

BACA JUGA Dulu semua nafi, kini satu demi satu terbukti, adik Najib sendiri cari kebenaran skandal