RENCANA | Jika Samsuri pemimpin masa depan, mengapa bayang Hamzah masih menghantui Pas?

MOHD NAJIB HASHIM

Dalam politik, jawatan boleh diputuskan dalam satu mesyuarat. Keyakinan pula mengambil masa bertahun-tahun untuk dibina.

Itulah sebabnya tidak semua orang yang memegang jawatan tertinggi benar-benar menjadi orang paling berpengaruh. Ada yang duduk di kerusi paling depan, tetapi keputusan sebenar masih menunggu isyarat daripada orang yang berada beberapa langkah di belakang.

Fenomena inilah yang menimbulkan persoalan menarik dalam landskap pembangkang hari ini. Secara rasmi, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar ialah Pengerusi Perikatan Nasional (PN). Beliau merupakan pemimpin yang dipilih untuk menjadi wajah gabungan itu selepas era Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Namun di ruang analisis politik dan perbincangan di media sosial, nama yang sering muncul apabila bercakap tentang strategi, rundingan dan percaturan pembangkang ialah Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Mengapa?

Sudah tentu Pas tidak pernah menyatakan bahawa mereka lebih yakin kepada Hamzah. Sebaliknya, parti itu memberikan penghormatan kepada Samsuri sebagai pengerusi gabungan. 

Tetapi politik sentiasa mengundang tafsiran, dan tafsiran itu lahir daripada tindakan yang dapat dilihat, bukan sekadar kenyataan media.

Pas selama ini membina imej sebagai parti yang mempunyai sistem tarbiah yang tersusun dan melahirkan ramai pemimpin. Ceramah mereka sering mengingatkan bahawa kekuatan parti terletak pada organisasi, bukannya kepada individu.

Namun apabila sampai kepada pentas politik nasional, timbul persoalan sama ada organisasi yang begitu diyakini itu masih memerlukan tokoh lain untuk memberikan keyakinan kepada gabungan.

Ironinya, Pas sering mengkritik parti lawan kerana terlalu bergantung kepada individu tertentu. Tetapi apabila sampai kepada soal kepimpinan pembangkang, perbincangan politik masih banyak berkisar kepada pengaruh Hamzah.

Ini bukan bermaksud Hamzah menguasai segala-galanya. Tetapi persepsi bahawa beliau ialah antara pemain strategik utama terus wujud.

Dalam politik, persepsi juga mempunyai nilai.

Ahmad Samsuri pula membawa imej yang berbeza. Beliau dilihat sebagai pentadbir yang tenang, profesional dan tidak terlalu gemar berpolitik secara konfrontasi. Rekod pentadbirannya di Terengganu sering dijadikan contoh oleh penyokongnya.

Namun pentadbiran negeri dan kepimpinan nasional ialah dua gelanggang yang berbeza.

Mengurus sebuah negeri memerlukan dasar dan pentadbiran yang baik. Mengurus sebuah gabungan politik pula memerlukan kebolehan menyatukan pelbagai kepentingan, merundingkan pembahagian kuasa dan meyakinkan semua pihak bahawa keputusan yang dibuat akan membawa kemenangan bersama.

Di sinilah cabaran sebenar. Politik Malaysia tidak pernah kekurangan pemimpin yang mempunyai jawatan. Yang sukar dicari ialah pemimpin yang mempunyai pengaruh sehingga orang lain sanggup mengikutinya tanpa banyak persoalan.

Pas tentu berharap Samsuri dapat mengisi ruang itu.

Agenda Sam RXZ

Namun jika setiap kali berlaku perubahan besar dalam pembangkang perhatian kembali tertumpu kepada Hamzah, maka persepsi yang lahir ialah proses pemindahan keyakinan itu belum berlaku sepenuhnya.

Lebih menarik lagi, kebelakangan ini beberapa perkembangan politik yang melibatkan tokoh-tokoh baharu dalam pembangkang turut mengundang pelbagai tafsiran. Ada yang melihatnya sebagai strategi memperluaskan pengaruh Pas. Ada pula yang menganggap ia lebih berkait dengan jaringan politik individu tertentu.

Tafsiran seperti ini mungkin dipersetujui atau ditolak. Tetapi ia menunjukkan bahawa rakyat sentiasa membaca politik melalui simbol dan isyarat.

Dalam dunia hari ini, gambar kadangkala lebih berpengaruh daripada ucapan. Di sinilah muncul satu lagi dimensi yang menarik.

Ahmad Samsuri berjaya mencipta fenomena melalui Himpunan RXZ di Terengganu sehingga ada yang secara berseloroh menggelarnya “Sam RXZ”. Acara itu membawa limpahan pengunjung, perhatian media dan menjadi antara jenama yang dikaitkan dengan pentadbirannya.

Dari sudut penganjuran acara, ia satu kejayaan yang tidak boleh dinafikan.

Tetapi persoalannya, adakah kejayaan menghimpunkan puluhan ribu motosikal secara automatik membuktikan seseorang mempunyai aura untuk memimpin sebuah gabungan politik nasional?

Mengurus sebuah himpunan besar dan mengurus sebuah gabungan politik adalah dua perkara yang berbeza. Yang satu memerlukan pentas, sistem lalu lintas dan pengurusan acara.

Yang satu lagi memerlukan rundingan, strategi, kepercayaan dan kemampuan menyelesaikan konflik.

Barangkali untuk menambahkan lagi kredibiliti politik “Sam RXZ”, selepas ini boleh sahaja dianjurkan Himpunan RXZ Peringkat ASEAN. Jemput peserta dari Thailand, Indonesia, Brunei dan Singapura supaya rekod baharu dapat dicipta.

Kalau mahu lebih sensasi, mungkin boleh ditawarkan minyak percuma kepada peserta. Sudah pasti lautan motosikal akan menjadi lebih panjang dan gambar dari udara akan lebih mengagumkan.

Media sosial pasti meriah. Influencer pasti sibuk membuat siaran langsung. Hashtag mungkin menjadi sohor kini.

Tetapi selepas bunyi enjin reda, pentas diturunkan dan peserta pulang ke rumah masing-masing, politik akan kembali kepada persoalan yang sama.

Siapa yang diyakini ketika rundingan kerusi menjadi tegang?

Siapa yang menjadi tempat rujukan apabila berlaku pertembungan kepentingan antara parti-parti dalam gabungan?

Siapa yang mampu menyatukan pemimpin-pemimpin yang masing-masing mempunyai cita-cita sendiri?

Jawapan kepada soalan-soalan itu tidak boleh diukur dengan jumlah motosikal yang hadir atau panjangnya konvoi yang memenuhi jalan raya.

Ia hanya boleh diukur melalui keyakinan politik. Dan di situlah Pas masih berdepan cabaran persepsi.

Jika parti itu mahu meyakinkan rakyat bahawa Ahmad Samsuri ialah pemimpin nasional yang benar-benar mampu membawa pembangkang ke Putrajaya, maka yang perlu dibina bukan sekadar jenama atau acara besar, tetapi keyakinan bahawa beliau ialah individu yang akan dicari ketika saat paling genting.

Kerana dalam politik, orang mungkin datang kerana program yang hebat. Tetapi mereka hanya akan terus mengikut apabila yakin kepada pemimpinnya.

Dan selagi persoalan mengenai siapa sebenarnya “nakhoda” yang paling diyakini dalam pembangkang terus berlegar di ruang awam, selagi itulah bayang Hamzah akan terus menghantui naratif yang cuba dibina untuk mengangkat Samsuri.

BACA JUGA Puteri Wangsa bukan untuk PKR, AMANAH Johor tampil nafi dakwaan serah kerusi PRN