Pas tunjuk belang sebenar, bayangkan jika Pas kuasai Putrajaya.
Tindakan menggugurkan Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin dan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali daripada jawatan utama dalam Perikatan Nasional (PN) didakwa mendedahkan usaha Pas untuk mengukuhkan penguasaan terhadap gabungan pembangkang itu.
Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz mendakwa rombakan yang diumumkan menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan bukan sekadar penyusunan organisasi, sebaliknya mempunyai implikasi besar terhadap keseimbangan kuasa dalam Majlis Tertinggi (MT) PN.
Menurut beliau, selepas pengguguran Radzi sebagai Ketua Pengarah Pilihan Raya PN dan Azmin sebagai Timbalan Setiausaha Agung, jumlah wakil Pas dalam MT PN meningkat kepada lapan orang.
Sebaliknya, katanya, wakil Bersatu kini tinggal empat orang sahaja.
“Dengan perubahan ini, Pas mempunyai kelebihan yang jauh lebih besar dalam proses membuat keputusan dalam PN.
“Ia membolehkan mereka memaksimumkan pengaruh dalam Majlis Tertinggi dan mengurangkan peranan Bersatu dalam gabungan,” katanya dalam satu kenyataan.
Tun Faisal turut mempersoalkan tindakan mengadakan mesyuarat tergempar MT PN dalam masa terdekat, sedangkan menurutnya sebelum ini kepimpinan gabungan tidak menunjukkan kesungguhan menangani konflik dalaman atau mengadakan mesyuarat penting berkaitan pilihan raya.
Katanya, sepanjang beberapa minggu lalu, pelbagai isu termasuk rundingan kerusi, persiapan pilihan raya dan mesyuarat jawatankuasa electoral pact tidak diberi perhatian sewajarnya.
Beliau mendakwa perkembangan terbaharu itu menunjukkan kecenderungan politik yang semakin autoritarian dalam PN.
“Sedikit demi sedikit rakyat dapat melihat sikap kuku besi dan permainan politik kotor yang sedang berlaku.
“Apabila matlamat menghalalkan cara, maka peraturan dan semangat kerjasama dalam gabungan mula diketepikan,” katanya.
Menurut Tun Faisal, bukan lagi rahsia bahawa terdapat kelompok tertentu dalam PAS yang mahu menguasai PN sepenuhnya dan menyingkirkan Bersatu daripada gabungan tersebut.
Beliau mendakwa pelbagai tindakan kebelakangan ini, termasuk isu watikah calon, dominasi dalam Majlis Tertinggi dan usaha mengehadkan peranan Majlis Presiden, memberi gambaran ke arah tersebut.
Malah, katanya, pengguguran Radzi dan Azmin turut dilihat sebagai langkah strategik untuk mengubah imbangan undi dalam MT PN supaya lebih memihak kepada Pas.
“Dengan konfigurasi baharu ini, Pas berada dalam kedudukan yang lebih selesa untuk menentukan keputusan organisasi kerana mereka yakin mendapat sokongan sekutu tertentu dalam gabungan,” katanya.
Tun Faisal bagaimanapun menegaskan Bersatu tidak akan berdiam diri dan akan terus mempertahankan kedudukan serta prinsip asal penubuhan PN.
“BERSATU komited untuk mempertahankan PN. Namun kami juga berharap masih ada pihak dalam Pas yang berani menghentikan kerakusan dan permainan politik yang sedang berlaku dari dalam parti itu sendiri,” katanya.
Kenyataan itu menambah lagi ketegangan yang sedang melanda hubungan Pas dan Bersatu ketika kedua-dua parti berdepan persoalan mengenai hala tuju serta struktur kuasa dalam PN menjelang beberapa pilihan raya penting yang bakal berlangsung.
BACA JUGA RENCANA | Jika Samsuri pemimpin masa depan, mengapa bayang Hamzah masih menghantui Pas?