Shuttle Selatan dilancarkan bagi perkukuh mobiliti Johor
Johor terus melakar kemajuan sebagai antara negeri paling pesat membangun di Malaysia. Seiring dengan pertumbuhan pesat sektor perindustrian, logistik dan pelaburan, keperluan terhadap sistem pengangkutan awam yang cekap dan berdaya harap menjadi semakin penting.
Menyedari hakikat ini, Kerajaan MADANI menerusi Kementerian Pengangkutan (MOT), Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dan Perbadanan Aset Keretapi (RAC) telah melancarkan Perkhidmatan Operasi Shuttle Selatan bagi memperkukuh mobiliti rakyat di Johor.
Perkhidmatan baharu ini melibatkan dua laluan utama iaitu Kulai–JB Sentral dan Kempas Baru–Pasir Gudang. Kedua-dua laluan ini menghubungkan kawasan kediaman, pusat bandar serta kawasan perindustrian utama yang menjadi nadi ekonomi Johor.
Dengan tempoh perjalanan sekitar 40 hingga 45 minit, Shuttle Selatan menawarkan alternatif yang lebih pantas, selesa dan efisien berbanding perjalanan menggunakan kenderaan persendirian.
Pelaksanaan perkhidmatan ini dijangka memberi manfaat kepada ratusan ribu penduduk, khususnya di Johor Bahru, Kulai dan Pasir Gudang.
Selain memudahkan perjalanan harian pekerja, pelajar dan masyarakat setempat, ia turut membantu mengurangkan kesesakan jalan raya serta menyokong usaha memperluaskan penggunaan pengangkutan awam.
Bagi menggalakkan lebih ramai rakyat beralih kepada pengangkutan awam, Kerajaan MADANI turut memperkenalkan Kad Komuter Madani Shuttle Selatan.
Sebanyak 3,000 kad percuma bernilai RM50 setiap satu diagihkan kepada pengguna sebagai insentif awal.
Langkah ini dilengkapi dengan penyediaan bas pengantara, kemudahan park and ride serta penambahbaikan kemudahan di stesen-stesen terlibat.
Dalam masa yang sama, KTMB telah mengoptimumkan penggunaan aset rel sedia ada melalui pengoperasian tren Hybrid dan tren yang telah dinaik taraf.
RAC pula memastikan kesiapsiagaan infrastruktur rel termasuk kemudahan mesra OKU, sistem pengumuman awam, CCTV dan laluan pejalan kaki yang selamat.
Pelancaran Shuttle Selatan bukan sekadar menambah pilihan pengangkutan kepada rakyat. Lebih penting, ia menjadi pemangkin kepada pembangunan ekonomi wilayah selatan serta menyokong aspirasi Johor sebagai hab ekonomi dan logistik utama negara.
Dalam konteks Johor-Singapore Special Economic Zone (JS-SEZ), sistem pengangkutan yang cekap akan menjadi pemacu penting kepada pergerakan tenaga kerja, pelaburan dan pertumbuhan ekonomi rentas sempadan.
Shuttle Selatan membuktikan komitmen berterusan Kerajaan MADANI dalam menyediakan sistem pengangkutan awam moden, inklusif dan mampan demi kesejahteraan rakyat serta kemakmuran negara.
BACA JUGA Pas tunjuk belang sebenar, bayangkan jika Pas kuasai Putrajaya.