Wan Fayhsal dedah punca PN gagal tubuh kerajaan, rupanya bukan punca DAP
Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal tampil mendedahkan punca sebenar kegagalan Perikatan Nasional (PN) membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.
Menerusi hantaran di Facebook selepas menghadiri sesi usrah bersama Ayah Chik iaitu panggilan kepada Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang, Wan Fayhsal berkata, ia berpunca daripada sikap ego serta sifat hasad seorang individu tertentu dalam PN.
“Usrah dengan Ayah Chik semalam. Panjang lebar Ayah Chik cerita (unfiltered, saksi hidup) sejarah politik tanah air sampai terbentuknya Perikatan Nasional (PN) dan kenapa PN gagal tubuh kerajaan selepas PRU15.
“Kacau-bilau PN sebenarnya berpunca daripada penyakit hasad seseorang yang kalau dia tak dapat, orang lain pun tak boleh dapat,” kata bekas pemimpin Bersatu itu.
Tanpa menyebut nama pemimpin secara khusus, Wan Fayhsal berkata, kekalutan dalam PN ketika itu berpunca daripada seorang individu yang enggan memberi laluan kepada mana-mana calon lain untuk diangkat sebagai Perdana Menteri.
Walhal, ujarnya, pihak istana ketika itu bersedia menerima nama alternatif dari PN.
“Pas pun bersedia saja namakan dan ahli-ahli Parlimen Bersatu (original) pun bersedia. Tapi orang itu tetap berkeras: hanya aku seorang yang boleh dan layak.
“Hasad, angkuh dan ‘ananiyah’ (ego/keakuan) seperti api dalam sekam; persis kanser ulu hati,” sindir Wan Fayhsal.
Bagaimanapun, Wan Fayhsal bersyukur kerana segala sifat buruk yang selama ini merosakkan kestabilan PN dari dalam itu, menurutnya sudah dirawat.
“Alhamdulillah, barah ini kita dah rawat. Kita buang sel-sel kanser dalam batang tubuh PN,” katanya lagi.
Menjengah ke ruangan komentar, rata-rata menempelak wakil rakyat pembangkang termasuk mengaitkan dengan DAP.
“Jadi, bukan punca DAP ye… Melayu sendiri yang rosakkan politik dan negara,” kata seorang pengguna Facebook.
BACA JUGA Malaysia melonjak lagi, diangkat negara ke-15 paling berdaya saing dunia