AMANAH arah jentera pilihan raya bantu kemenangan PRN Johor, Negeri Sembilan

AMANAH mengumumkan kesiapsiagaan penuh bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan dengan menggerakkan seluruh jentera parti di semua peringkat bagi memastikan kemenangan calon parti itu serta Pakatan Harapan (PH).

Ketetapan itu diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pimpinan Nasional AMANAH yang berlangsung malam tadi, sebagai persiapan awal menghadapi dua pilihan raya penting yang menjadi medan ujian besar buat gabungan Kerajaan Perpaduan.

Setiausaha Agung AMANAH, Muhammad Faiz Fadzil berkata, semua jentera pilihan raya parti telah diarahkan untuk digerakkan bagi membantu memastikan setiap calon AMANAH dan PH mencapai kemenangan.

Beliau berkata, sasaran utama parti adalah memastikan PH berjaya membentuk kerajaan negeri di Johor dan Negeri Sembilan selepas PRN kali ini.

Dalam mesyuarat sama, AMANAH turut menyatakan sokongan terhadap usaha menggubal satu undang-undang bagi menetapkan sekurang-kurangnya 30 peratus pencalonan wanita di peringkat Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Sebelum ini, AMANAH Johor dilaporkan akan bertanding di 19 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) termasuk Simpang Jeram, iaitu kerusi tunggal dimenangi parti itu pada PRN 2022.

AMANAH akan merampas semula beberapa kerusi DUN yang dimenanginya sebelum ini termasuk Parit Yaani dan Kota Iskandar.

Calon AMANAH juga akan bertempur di Permas, Kemelah, Tenang, Serom, Maharani dan Bukit Pasir dalam PRN yang telah ditetapkan pada 11 Julai depan itu.

Malah, AMANAH Johor tekad memberikan saingan sengit di beberapa kawasan diketahui kubu kuat Barisan Nasional (BN).

Pada PRN kali ini, DAP akan bertanding di 17 kerusi DUN manakala PKR di 20 DUN.

BACA JUGA Malaysia pecah rekod lagi, eksport tembus RM184 bilion didorong ledakan AI dunia