Apa yang keluarga, pelajar dapat melalui pakej daya tahan Selangor?

Seramai 50,000 keluarga bakal menerima bantuan RM100 sebulan selama enam bulan menerusi Baucar Kita Selangor yang diumumkan Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari ketika membentangkan Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor di Dewan Negeri Selangor hari ini.

Menurut Amirudin, inisiatif itu diperkenalkan bagi membantu rakyat berdepan tekanan kos sara hidup susulan ketidaktentuan ekonomi global.

Beliau berkata kerajaan negeri memperuntukkan RM30 juta untuk menjayakan program tersebut yang akan memberi manfaat kepada keluarga yang dikenal pasti melalui data agensi negeri dan Persekutuan.

Katanya, bantuan itu akan mula disalurkan melalui e-dompet SELANGKAH bermula 30 Jun ini.

Dalam pembentangannya, Amirudin turut mengumumkan kesinambungan program Jelajah Ehsan Rahmah (JER) yang menawarkan pelbagai barangan asas pada harga lebih rendah daripada pasaran.

Beliau berkata kerajaan negeri memperuntukkan RM10 juta bagi membolehkan JER dilaksanakan di 779 lokasi sehingga Disember depan.

Selain bantuan kepada isi rumah, Amirudin berkata kerajaan negeri mengambil keputusan menumpukan bantuan makanan percuma kepada pelajar daripada keluarga berpendapatan RM2,000 dan ke bawah.

Katanya, seramai 120,000 pelajar daripada 962 sekolah akan menerima makanan percuma dua kali seminggu selama tiga bulan bermula Ogos depan.

Pelajar sesi pagi akan menerima sarapan manakala pelajar sesi petang akan diberikan makan tengah hari yang disediakan oleh kantin sekolah.

Bagi menjayakan program tersebut, kerajaan negeri memperuntukkan RM14.4 juta.

Dalam masa sama, Amirudin turut mengumumkan subsidi tambang pengangkutan awam RM30 sebulan selama enam bulan kepada 50,000 warga Selangor.

Beliau berkata langkah itu diambil bagi mengurangkan beban rakyat serta menggalakkan penggunaan pengangkutan awam ketika kos bahan api terus berdepan ketidaktentuan.

Keseluruhan inisiatif berkenaan, katanya, mencerminkan komitmen kerajaan negeri untuk memastikan rakyat terus mendapat perlindungan sewajarnya ketika berdepan tekanan kos hidup.

BACA JUGA Remaja 15 tahun dirogol ketika berjoging, Dr Hafidzah gesa Kelantan bangkit lawan penjenayah seksual