Anwar dedah apa yang dapat selepas jumpa Putin

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata setiap siri pertemuan dan rundingan sepanjang lawatan kerjanya ke Kazan, Rusia dimanfaatkan sepenuhnya bagi membuka lebih banyak peluang ekonomi yang akhirnya memberi manfaat langsung kepada rakyat Malaysia.

Menurut beliau, lawatan berkenaan bukan sekadar memenuhi agenda diplomatik, sebaliknya menjadi platform untuk memperkukuh kerjasama strategik dalam pelbagai sektor yang berpotensi menjana pelaburan, perdagangan dan pertumbuhan ekonomi negara.

“Alhamdulillah, misi di Kazan, Persekutuan Rusia diisi dengan pelbagai siri perbincangan strategik yang cukup bermakna buat negara.

“Bermula dengan pertemuan erat bersama Rais Tatarstan, perbahasan di Forum Perniagaan Rusia-ASEAN, sehinggalah ke meja perundingan empat mata bersama Presiden Vladimir Putin,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Anwar berkata kerajaan meneroka setiap peluang yang tersedia di pentas antarabangsa bagi memastikan hasil kerjasama yang dimeterai dapat diterjemahkan kepada manfaat ekonomi untuk rakyat.

“Setiap ruang dan peluang di pentas antarabangsa ini diteroka dan dimanfaatkan sepenuhnya demi memastikan manfaat ekonomi kembali kepada rakyat Malaysia,” katanya.

Sepanjang lawatan itu, Anwar mengadakan pertemuan dengan Presiden Rusia Vladimir Putin yang antara lain menyentuh usaha memperluas kerjasama strategik dua hala melibatkan sektor tenaga, perdagangan, teknologi baharu dan keselamatan makanan.

Menurut maklumat yang dikongsikan Perdana Menteri, kedua-dua pemimpin turut membincangkan potensi kerjasama dalam bidang kecerdasan buatan (AI), ekonomi digital, keselamatan siber, pertanian moden dan farmaseutikal.

Selain itu, isu pemansuhan visa serta penggunaan mata wang tempatan dalam urusan perdagangan antara kedua-dua negara turut menjadi antara agenda perbincangan.

Anwar juga mengadakan pertemuan dengan Rais Tatarstan, Rustam Minnikhanov, yang disifatkannya sebagai sahabat baik Malaysia.

Pertemuan itu membuka ruang kerjasama lebih luas dalam bidang perdagangan, pelaburan, pendidikan, pelancongan serta industri halal, selain sektor hiliran, penapisan dan petrokimia.

Di Forum Perniagaan Rusia-ASEAN pula, Perdana Menteri menegaskan bahawa matlamat utama setiap kerjasama ekonomi adalah untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat.

Beliau turut menyuarakan sokongan terhadap ASEAN-Russia Strategic Programme on Trade and Investment Cooperation 2026-2035 serta menekankan kepentingan sistem perdagangan terbuka, adil dan berasaskan peraturan.

Anwar berkata usaha memperkukuh hubungan Malaysia dengan rakan strategik antarabangsa akan diteruskan selaras dengan pendekatan Diplomasi MADANI yang menumpukan kepada pembangunan ekonomi, pelaburan berkualiti dan kesejahteraan rakyat.

BACA JUGA Selangor umum pakej RM355.06 juta hadapi tempias krisis global