Terkenal suka baca doa Qunut Nazilah, kereta MP Pas ini dilanggar Axia
Terkenal dengan gemar memimpin bacaan doa Qunut Nazilah, Ahli Parlimen Pas, Jasin Zulkifli Ismail terlibat dalam kemalangan di persimpangan lampu isyarat Jelatang di Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ), kira-kira 5.20 pagi tadi.
Pesuruhjaya Pas Melaka itu dilapor mengalami cedera ringan manakala isterinya mengalami sakit dada selepas Nissan Teana yang dipandu berlanggar dengan sebuah kereta Perodua Axia.
Ketua Polis Alor Gajah, Ahmad Abu Bakar, berkata, kenderaan dipandu wakil rakyat Perikatan Nasional (PN) itu dari arah persimpangan lampu isyarat Jelatang manakala Axia yang dipandu seorang wanita datang dari arah Alor Gajah menghala ke Gadek.
Menurutnya, Axia yang dipandu wanita berusia 30 tahun berkenaan yang juga pekerja kilang turut dinaiki bersama tiga lagi rakannya.
“Nissan Teana terbabit sedang meneruskan perjalanan di persimpangan lampu isyarat Jelatang sebelum dilanggar Perodua Axia yang masuk ke persimpangan berkenaan.
“Akibat kemalangan itu, Zulkifli mengalami kecederaan ringan, iaitu luka pada kedua-dua tangan manakala isterinya mengalami sakit dada.
“Pemandu Perodua Axia pula mengalami kecederaan patah tulang rusuk dan tulang pinggul,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau memaklumkan, wanita tersebut mendapatkan rawatan di Hospital Melaka manakala tiga lagi rakannya yang cedera ringan menerima rawatan di Hospital Alor Gajah.
Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih dijalankan.
Untuk rekod, Zulkifli yang berusia 60 tahun dikenali sebagai pemimpin Pas yang kerap memimpin bacaan doa Qunut Nazilah dalam aksi demonstrasi menentang kerajaan MADANI termasuk Himpunan Turun Anwar pada Julai tahun lalu.
Pada April lalu, mahkamah memerintahkan Zulkifli dan akhbar rasmi Pas, Harakah membayar kos sebanyak RM15,000 kepada Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berhubung kenyataan fitnah.
Dalam kenyataan permohonan maaf di mahkamah itu, Zulkifli menyatakan sebenarnya sekolah-sekolah dibenarkan melaungkan takbir dan membaca Qunut Nazilah sepanjang Minggu Solidariti Palestin.
BACA JUGA PN hadapi PRN Johor dalam keadaan cedera teruk, sukar beri saingan bermakna