Tak kira bangsa semua berdiri tegak, tahniah rakyat Malaysia
Rakyat Malaysia meluahkan rasa sebak selepas tular suasana orang ramai di sebuah pasar tani berhampiran Stadium Cheras yang secara spontan berdiri tegak apabila lagu Negaraku berkumandang.
Menerusi hantaran dimuat naik di media sosial, individu berkenaan berkata ketika kejadian, terdapat sesi raptai yang sedang berlangsung di stadium berdekatan, namun tidak dapat dipastikan acara yang sedang dipersiapkan.
Menurutnya, meskipun peniaga dan pengunjung pasar tani ketika itu sedang sibuk dengan urusan masing-masing, mereka tetap menghentikan aktiviti sebaik sahaja lagu kebangsaan dimainkan.
“Kisah pagi tadi. Dekat Stadium Cheras ada rehearsal tapi tak pasti untuk event apa. Berdekatan dengan stadium ada pasar tani.
“Tiba-tiba berkumandang lagu Negaraku. Tak kira pembeli mahupun peniaga tak kira usia mahupun bangsa yang tengah sibuk berurusan jual beli, semua automatik berdiri tegak sampai habis lagu.
“Kepada semua rakyat Malaysia, tahniah,” kongsi individu itu di Threads.
Rakaman tersebut mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan netizen yang menyifatkan tindakan itu sebagai bukti semangat patriotisme rakyat Malaysia masih utuh dan merentasi latar belakang kaum serta generasi.
Mereka turut memuji sikap hormat yang ditunjukkan orang ramai terhadap lagu kebangsaan, selain menyifatkan momen berkenaan sebagai antara gambaran terbaik perpaduan rakyat Malaysia.
BACA JUGA Kejayaan Petronas di Turkmenistan bukti keyakinan dunia terhadap Malaysia