‘Janganlah jauh sangat heret ucapan saya…’ – Adly bidas balik Akmal Saleh
Pengerusi Pakatan Harapan Melaka, Adly Zahari menegur Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh yang didakwa terlalu jauh mengheret ucapan beliau berhubung isu kehadiran rakyat Johor di Melaka.
Adly berkata, beliau tidak pernah memfitnah rakyat Melaka mahupun Johor bagi tujuan politik seperti yang cuba digambarkan oleh pihak tertentu.
“Buat Adinda YB Datuk Akmal, janganlah jauh sangat mengheret ucapan saya semalam untuk tujuan politik sampai ke Melaka.
“Saya tak pernah memfitnah rakyat Melaka mahu pun Johor bagi tujuan politik.Â
“Saya lampirkan juga analisa video ucapan saya semalam melalui AI. Semoga ada pencerahan,” katanya di Facebook, membalas kenyataan Akmal Saleh.
Akmal mendakwa Adly seolah-olah cuba memburukkan hubungan baik yang sekian lama terjalin antara rakyat Melaka dan Johor susulan ucapan pemimpin PH itu tentang penghijrahan rakyat Johor ke Melaka.
Justeru Adly melampirkan analisis menggunakan kecerdasan buatan (AI) terhadap rakaman video ucapannya bagi memberikan gambaran yang lebih jelas mengenai maksud sebenar kenyataan tersebut.
Adly yang juga Ahli Parlimen Alor Gajah itu tidak pernah menyatakan bahawa rakyat Melaka tidak suka akan kehadiran rakyat Johor secara peribadi atau berbaur perkauman/kenegerian.
Sebaliknya, kenyataan beliau adalah dalam konteks impak pembangunan hartanah dan geografi, di mana beliau menyebutnya dengan nada berseloroh tetapi serius dari sudut perancangan wilayah.