Jamal selesai bayar RM66,600 kepada Teresa, lelongan harta dibatalkan

Peguam mewakili Teresa Kok, Datuk Sankara mengesahkan Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos sudah menjelaskan penghakiman tertunggak berjumlah RM66,600 kepada anak guamnya.

Jamal selaku penghutang telah menyerahkan cek berjumlah RM66,600 pada 19 Jun lalu sebagai penyelesaian kepada hutang penghakiman tersebut.

Berikutan pembayaran yang diterima, lelongan awam yang sebelum ini dijadualkan pada 22 Jun telah ditangguhkan dan tidak akan diteruskan buat sementara waktu sementara menunggu penjelasan (clearance) cek.

“Tertakluk kepada penjelasan cek jurubank tersebut berjaya dilakukan, hutang penghakiman akan dianggap telah dijelaskan sepenuhnya dan prosiding lelongan akan dibatalkan sewajarnya,” kata Nair.

Difahamkan, penghakiman tertunggak RM66,600 merupakan kos dalam kes saman itu.

Pada 12 Jun lalu, Nair berkata sebanyak 14 harta alih yang telah disita dari kediaman Jamal akan dilelong 22 Jun ini pada 10 pagi, selepas beliau gagal menjelaskan penghakiman tertunggak berkenaan.

Pada 30 Julai 2024, Mahkamah Persekutuan menolak permohonan Jamal bagi kebenaran merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi, yang memerintahkan beliau membayar ganti rugi RM300,000 kepada Kok.

Untuk rekod, Jamal telah membayar ganti rugi RM300,000 itu.

BACA JUGA Berita baik untuk rakyat, diesel bersubsidi seluruh negara turun kepada RM2.10 seliter mulai Julai