Tun Faisal dedah dilema PN: Bincang dalam mesyuarat, putus di tempat lain? 

Menjelang mesyuarat tergempar Perikatan Nasional (PN) malam ini, Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Tun Faisal Ismail Aziz mempersoalkan sama ada gabungan itu benar-benar membuat keputusan secara kolektif atau sekadar menunggu lampu hijau daripada Pas.

Beliau mendakwa banyak keputusan yang dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) PN akhirnya perlu dirujuk semula kepada kepimpinan Pas sebelum dimuktamadkan, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai fungsi sebenar mesyuarat tertinggi gabungan tersebut.

Menurut Tun Faisal, mesyuarat tergempar yang dijadualkan berlangsung pada 22 Jun itu sepatutnya diadakan lebih awal, khususnya selepas pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor dan ketika timbul kemungkinan DUN Negeri Sembilan turut dibubarkan.

“Selepas Mesyuarat MT PN, wajarlah dipanggil pula Mesyuarat Rundingan Kerusi dan Persiapan Pilihan Raya. Dan selepas itu, dipanggil Mesyuarat Jawatankuasa ‘electoral pact’ dengan parti-parti bukan anggota PN. Barulah teratur perjalanan Perikatan Nasional,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Beliau mempersoalkan kelewatan mengadakan mesyuarat berkenaan sedangkan pelbagai keputusan berkaitan persiapan pilihan raya memerlukan tindakan segera daripada kepimpinan gabungan.

“Persoalannya, kenapakah Mesyuarat MT PN ini tidak dipanggil lebih awal? Sedangkan banyak urusan berkaitan persiapan PN memasuki pilihan raya perlu diuruskan,” katanya.

Tun Faisal turut mendakwa Pas tidak membuat keputusan muktamad dalam mesyuarat MT PN, sebaliknya segala perkara yang dibincangkan perlu dibawa pulang untuk pertimbangan parti sebelum keputusan akhir dibuat.

Beliau merujuk kepada kenyataan seorang pemimpin Pas yang menjelaskan bahawa perkara yang tidak selesai dalam mesyuarat gabungan akan dibincangkan semula di peringkat parti sebelum dibawa kembali ke mesyuarat akan datang.

“Berdasarkan kenyataan seorang pemimpin Pas yang disiarkan media, ‘kita bincang, runding apa yang tak selesai bawa balik kepada parti untuk dibincang dan kemudian diambil keputusan parti bawa balik ke mesyuarat gabungan akan datang, itu proses yang berlaku’,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mempersoalkan tujuan sebenar mesyuarat tergempar yang bakal berlangsung esok.

“Jika begitu apakah tujuan dipanggil Mesyuarat Tergempar MT PN pada 22 Jun 2026 ini? Untuk buat keputusan atau buat cadangan? Atau hanya menyampaikan keputusan yang telah dibuat di luar mesyuarat MT PN?” soalnya.

Dalam kritikan yang dilihat menyentuh struktur kuasa dalam gabungan itu, Tun Faisal turut mendakwa Pengerusi PN tidak mempunyai kuasa mutlak untuk memuktamadkan keputusan kerana perlu merujuk kepada kepimpinan Pas terlebih dahulu.

“Setakat ini memang difahami Pengerusi PN tidak boleh membuat keputusan dan memuktamadkan keputusan kerana dia hanya Naib Presiden, tiada kuasa eksekutif seperti Presiden parti untuk memuktamadkan keputusan, dan perlu merujuk Presidennya yang bukan anggota MT PN serta Majlis Syura Ulama Pas sebelum membuat keputusan,” katanya.

Beliau turut membangkitkan persoalan mengenai mekanisme membuat keputusan dalam PN, termasuk kemungkinan berlakunya pertikaian terbuka sekiranya cadangan yang dipersetujui tidak memenuhi kehendak pihak tertentu.

“Cadangan ini kemudiannya akan diputuskan di mana? Kalau cadangan tidak menepati kehendak pihak tertentu, apakah tindakan selepas itu? Bolehkah dibuat kenyataan terbuka mempertikai dan memveto cadangan MT PN?” katanya.

Terdahulu, satu notis mesyuarat tergempar MT PN tersebar di media sosial yang memaklumkan sidang khas itu akan diadakan pada 8.30 malam(22 Jun) di Pejabat Agung Pas, Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur.

Notis yang ditandatangani Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, bertarikh 18 Jun 2026 itu menyatakan mesyuarat berkenaan diadakan bagi membincangkan isu berkaitan keanggotaan parti dalam gabungan tersebut.

BACA JUGA Tolak monopoli kuasa bermula di Johor