Anwar umum calon malam ini, siapa bakal jadi taruhan PH di Johor?
Teka-teki mengenai barisan calon Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 dijangka terjawab malam ini apabila gabungan itu mengadakan majlis pengumuman rasmi di Padang Bukit Gambir Extreme Park.
Majlis yang dijadual bermula pada jam 7.30 malam itu bakal disempurnakan Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bersama Timbalan Pengerusi PH, Datuk Seri Mohamad Sabu dan Anthony Loke Siew Fook.
Berdasarkan atur cara yang diedarkan kepada media dan penyokong, pengumuman calon akan dibuat selepas ucapan pimpinan komponen PH yang dijadual bermula sekitar jam 8.15 malam.
Majlis tersebut dilihat sebagai antara acara paling penting menjelang PRN Johor apabila bakal menentukan barisan muka lama dan muka baharu yang akan membawa cabaran PH dalam usaha mempertahankan serta menambah kerusi di negeri itu.
Kehadiran Anwar sendiri memberi isyarat bahawa PH mahu menjadikan Johor sebagai medan penting untuk menguji kekuatan gabungan itu selepas beberapa perkembangan politik mutakhir yang menyaksikan persaingan semakin sengit antara blok kerajaan dan pembangkang.
Selain pengumuman calon, majlis berkenaan turut dijangka menjadi platform untuk pimpinan PH menyampaikan mesej utama kempen serta hala tuju gabungan itu bagi menghadapi pilihan raya negeri berkenaan.
Tumpuan turut terarah kepada pembahagian kerusi antara parti-parti komponen PH serta kemungkinan beberapa nama besar dan tokoh tempatan diketengahkan sebagai calon.
PRN Johor kali ini dilihat penting bukan sahaja untuk landskap politik negeri, malah berpotensi menjadi petunjuk awal sentimen pengundi terhadap Kerajaan MADANI menjelang pilihan raya umum akan datang.
BACA JUGA Tokoh kemerdekaan Timor-Leste meninggal dunia, Anwar zahir takziah