Bukan keluar dewan, Iran dan AS setuju pelan damai 60 hari?

Di sebalik pelbagai spekulasi mengenai ketegangan antara Iran dan Amerika Syarikat (AS), rundingan yang berlangsung di Bürgenstock, Switzerland dilaporkan mencapai perkembangan positif apabila kedua-dua pihak bersetuju meneruskan proses ke arah perjanjian muktamad dalam tempoh 60 hari.

Perkara itu diumumkan menerusi kenyataan bersama Kementerian Luar Qatar dan Pakistan yang bertindak sebagai negara pengantara dalam rundingan empat pihak melibatkan Iran, AS, Qatar dan Pakistan.

Menurut kenyataan tersebut, hari pertama rundingan berlangsung dalam suasana “positif dan konstruktif” dengan kemajuan dicapai dalam beberapa bidang penting termasuk pembentukan mekanisme untuk meneruskan rundingan teknikal.

“Para pihak turut bersetuju mewujudkan jawatankuasa peringkat tinggi bagi menyelia aspek politik proses mediasi selaras dengan memorandum persefahaman yang telah ditandatangani,” menurut kenyataan itu.

Antara perkembangan utama ialah persetujuan mengenai pelan tindakan atau ‘roadmap’ yang mensasarkan perjanjian muktamad dicapai dalam tempoh 60 hari.

Langkah itu sekali gus membuka laluan kepada rundingan teknikal yang akan diteruskan sepanjang minggu ini di Switzerland.

Kenyataan itu turut memaklumkan satu saluran komunikasi khas telah diwujudkan antara pihak terlibat bagi mengelakkan salah faham serta memastikan laluan perdagangan melalui Selat Hormuz kekal selamat.

Langkah tersebut dianggap penting memandangkan laluan berkenaan merupakan antara nadi utama perdagangan minyak dunia.

Selain isu nuklear dan sekatan ekonomi, para pihak turut bersetuju menubuhkan kumpulan kerja khas bagi mengurangkan ketegangan serantau.

Kumpulan itu akan memberi tumpuan kepada usaha menghentikan operasi ketenteraan di Lebanon sebagaimana diperuntukkan dalam memorandum persefahaman yang ditandatangani sebelum ini.

Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi menyifatkan kumpulan kerja tersebut sebagai ujian sebenar kepada komitmen semua pihak dalam mencari penyelesaian diplomatik.

“Perkembangan telah dicapai untuk menamatkan perang di Lebanon menerusi mediasi Pakistan dan Qatar,” katanya menerusi hantaran di platform X.

Araghchi turut mendakwa beberapa perkembangan positif lain telah dicapai termasuk pelonggaran sekatan terhadap eksport minyak Iran serta pembebasan sebahagian aset negara itu yang sebelum ini dibekukan.

Pada 14 Jun lalu, Iran dan AS mengumumkan persetujuan terhadap satu memorandum persefahaman 14 perkara yang dimediasi Pakistan bagi menghentikan konflik dan menyelesaikan pertikaian menerusi rundingan.

Perjanjian yang dikenali sebagai Perjanjian Islamabad itu mula berkuat kuasa pada 18 Jun selepas ditandatangani secara digital oleh Presiden Iran, Masoud Pezeshkian dan Presiden AS, Donald Trump.

Antara kandungan utama perjanjian tersebut ialah usaha menamatkan konflik termasuk di Lebanon, membuka semula Selat Hormuz serta menamatkan sekatan maritim AS terhadap Iran.

Dengan rundingan kini memasuki fasa baharu, tumpuan dunia tertumpu kepada sama ada kedua-dua musuh tradisi itu mampu mencapai perjanjian menyeluruh mengenai program nuklear Iran dan pemansuhan sekatan ekonomi dalam tempoh 60 hari yang dipersetujui.

BACA JUGA Shuttle Selatan guna diesel, rupanya ada sebab yang ramai tak tahu?