Apa dah jadi, kenapa Samsuri muat naik dua kenyataan bercanggah malam tadi?
Percanggahan kenyataan yang dimuat naik akaun rasmi Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar semalam sejurus sidang media beliau mengundang tanda tanya.
Ia berikutan kenyataan tersebut bercanggah dengan apa yang disebutkan dalam sidang media beliau.
Beberapa minit selepas orang ramai mempersoal percanggahan kenyataan yang dimuat naik di Facebook, Samsuri telah memadam kenyataan awal tersebut dan memuat naik kenyataan baru.
Dalam sidang media Samsuri semalam, Pengerusi PN itu menyentuh beberapa perkara namun tidak menyatakan gabungan itu akan bertanding atau tidak pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan.
Tetapi dalam kenyataan dimuat naik di Facebook Samsuri, hantaran itu menyebut bahawa PN tidak akan bertanding pada tiga PRN iaitu di Johor, Negeri Sembilan dan Melaka.
Kenyataan atas nama Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan itu juga menyebut, PN tidak membenarkan sebarang lambang atau bendera PN digunakan untuk ketiga-tiga pilihan raya tersebut.
Bagaimanapun dalam kenyataan baru yang dimuat naik semula, ia langsung tidak menyebut tentang keputusan PN tidak menyertai ketiga-tiga PRN akan datang.
Ia mencetuskan tanda tanya adakah akaun Pengerusi PN itu telah digodam atau ada pihak yang secara salah menggunakan letterhead PN.
Pengguna media sosial, Mohd Faisal yang merupakan individu terawal mengesan percanggahan tersebut berkata, Takiyuddin dan Samsuri perlu membuat laporan polis kerana ini adalah perkara serius.
“Datuk Seri Takiyuddin perlu ambil serius perkara ini dan perlu membuat laporan polis dengan segera. Begitu juga Dr. Ahmad Samsuri, jika benar akaun beliau telah diceroboh atau digodam, beliau juga perlu membuat laporan polis dengan segera.Â
“Apatah lagi kedudukan beliau sebagai seorang ADUN, seorang Ahli Parlimen, seorang MB, Pengerusi PN dan juga bakal PM Malaysia.
“Beliau adalah orang yang sangat penting untuk negeri dan negara. Perkara ini perlu dipandang serius dan perlu buat laporan polis.
“Andailah satu hari nanti tiba-tiba akaun beliau diceroboh lagi dan penceroboh membuat berita-berita palsu yang boleh menimbulkan panik kepada rakyat Terengganu, sudah pasti akan berlaku huru hara,” katanya.
BACA JUGA Rakyat Johor perlukan kerajaan negeri sehaluan Putrajaya demi limpahan ekonomi, projek mega