Hero tanpa uniform, pemandu lori terima pengiktirafan Wira Jalan Raya 

Keberanian seorang pemandu lori menggunakan kenderaannya untuk membantu memberhentikan sebuah bas yang hilang kawalan di Terowong Menora bulan lalu mendapat pengiktirafan Kementerian Pengangkutan (MOT) apabila beliau diangkat sebagai “Wira Jalan Raya”.

Pemandu lori berkenaan, Wong Tuck Meng, 40, menerima Sijil Penghargaan daripada Majlis Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MKJR) dalam satu majlis yang disempurnakan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, di Parlimen hari ini.

Tindakan pantas Wong ketika insiden pada 15 Jun lalu berjaya mengelakkan tragedi yang lebih besar dan menyelamatkan nyawa ramai pengguna jalan raya.

Pemandu bas terbabit, Ahmad Yasin Ab. Malek, 41, turut hadir pada majlis berkenaan.

Sebagai tanda penghargaan, MOT turut menyampaikan sumbangan tunai kepada Wong dalam majlis yang diadakan di Dewan Banquet, Parlimen Malaysia, sejurus selepas Anthony Loke membentangkan Rang Undang-Undang Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2026 bagi bacaan kali kedua di Dewan Rakyat.

Menurut kementerian, pengiktirafan itu mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam menghargai individu yang menunjukkan keberanian, rasa tanggungjawab dan keprihatinan terhadap keselamatan pengguna jalan raya.

“Ia juga selari dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan nilai ihsan, kebersamaan dan kesejahteraan rakyat dalam membina ekosistem pengangkutan yang lebih selamat, berdaya tahan dan berperikemanusiaan,” menurut kenyataan MOT.

Kementerian berharap tindakan terpuji Wong dapat menjadi inspirasi kepada rakyat Malaysia untuk terus mengutamakan keselamatan jalan raya serta menyemarakkan budaya saling membantu ketika berdepan situasi kecemasan.

Insiden di Terowong Menora itu sebelum ini tular di media sosial apabila tindakan berani pemandu lori berkenaan dipuji ramai kerana berjaya membantu mengelakkan kemungkinan kemalangan yang lebih buruk.

BACA JUGA Anwar dedah ‘nombor’ sebenar dana pusat untuk Johor