Pakar: Diplomasi Anwar buka ‘insurans tenaga’ Malaysia hingga dua dekad

Hubungan diplomatik yang semakin erat antara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Rusia, Vladimir Putin disifatkan berjaya membuka peluang strategik baharu kepada Malaysia, khususnya dalam aspek keselamatan tenaga negara.

Felo Kanan dan pakar geostrategi di Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR), Dr Azmi Hassan, berkata kerjasama antara Petronas dan syarikat minyak gergasi Rusia, Rosneft, membuktikan pendekatan diplomasi Kerajaan MADANI mula membuahkan hasil yang signifikan.

“Memang tidak syak lagi kerjasama Petronas dengan Rosneft menunjukkan keakraban hubungan antara Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Vladimir Putin.

“Putin sendiri telah mengesahkan komitmen untuk membekalkan minyak kepada Malaysia bagi tempoh 20 tahun akan datang. Dalam keadaan geopolitik dunia yang tidak menentu, khususnya konflik di Asia Barat, ini merupakan satu persefahaman yang amat baik untuk negara,” katanya.

Menurut beliau, jaminan bekalan tenaga jangka panjang itu meletakkan Malaysia pada kedudukan strategik di rantau ini, malah meningkatkan keyakinan negara-negara maju terhadap keupayaan Malaysia sebagai rakan tenaga yang boleh dipercayai.

“Australia dan Jepun melihat Malaysia, walaupun sebuah negara kecil, mempunyai kemampuan menjadi pemain penting dalam rantaian bekalan tenaga serantau,” katanya.

Dr Azmi berkata, kejayaan diplomasi kerajaan turut terserlah menerusi perjanjian Petronas dengan Turkmenistan yang memberikan hak kepada syarikat petroleum negara itu meneroka Blok 19 dan Blok 20 di Laut Caspia.

Katanya, kawasan berkenaan dipercayai mempunyai antara simpanan minyak dan gas terbesar di dunia.

“Kenapa kerajaan Turkmenistan memberi kepercayaan kepada Petronas? Ia bukan semata-mata kerana hubungan diplomatik yang baik, tetapi kerana rekod cemerlang Petronas yang sudah berada di negara itu selama 30 tahun.

“Petronas bukan sahaja meneroka minyak dan gas, malah membantu membangunkan kepakaran rakyat Turkmenistan melalui pemindahan teknologi dan latihan,” katanya.

Beliau berkata, kepercayaan yang diberikan itu lebih bermakna kerana Turkmenistan turut menjadi lokasi operasi beberapa syarikat minyak utama dari China, Emiriah Arab Bersatu dan Kanada.

“Namun, Petronas tetap diberikan kepercayaan. Ini menunjukkan kepakaran syarikat negara kita diiktiraf di peringkat antarabangsa dan berada pada kelas tersendiri,” katanya.

Dr Azmi berkata, kejayaan Petronas menembusi pasaran strategik seperti Rusia dan Turkmenistan membuktikan bahawa pendekatan diplomasi ekonomi yang digerakkan Kerajaan MADANI berjaya mengangkat kedudukan Malaysia di persada global.

“Ini adalah contoh bagaimana hubungan diplomatik yang baik diterjemahkan kepada manfaat ekonomi dan keselamatan tenaga negara.

“Malaysia mungkin sebuah negara kecil dari segi saiz, tetapi melalui diplomasi yang berkesan dan reputasi Petronas yang kukuh, negara kini dilihat sebagai pemain yang semakin penting dalam landskap tenaga dunia,” katanya.

BACA JUGA Anwar dedah ‘nombor’ sebenar dana pusat untuk JohorÂ