‘Parti Kancil’ tiada tawaran? AMK dakwa Rafizi makin obses kritik PM
Angkatan Muda Keadilan (AMK) mendakwa Datuk Seri Rafizi Ramli semakin hilang fokus terhadap isu rakyat apabila dilihat lebih cenderung menjadikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebagai sasaran utama serangan politiknya.
Exco AMK, Dzul Hilmi Zainol, berkata perkembangan itu turut menimbulkan persoalan mengenai hala tuju Parti Bersama Malaysia (Bersama) yang diterajui bekas timbalan presiden PKR itu menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Menurutnya, Rafizi yang sebelum ini dikenali dengan pelbagai formula dan cadangan dasar kini dilihat tidak lagi menawarkan penyelesaian kepada rakyat.
“Sejak kebelakangan ini, apa yang kita lihat ialah Rafizi dan ‘Parti Kancil’ lebih banyak menghabiskan masa menyerang Perdana Menteri berbanding mengemukakan cadangan atau formula untuk membantu rakyat.
“Setiap hari yang kedengaran hanyalah kritikan terhadap Anwar, tetapi rakyat masih tertanya-tanya apakah tawaran sebenar ‘Parti Kancil’ kepada negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kelmarin, Rafizi mengumumkan Bersama berhasrat bertanding di 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRN Johor yang dijadualkan berlangsung pada 11 Julai depan.
Menurut Rafizi, pemilihan kerusi tersebut dibuat berdasarkan beberapa faktor penilaian termasuk tahap penerimaan pengundi tempatan terhadap parti itu.
Mengulas lanjut, Dzul Hilmi berkata ketika kerajaan memperkenalkan pelbagai inisiatif untuk membantu rakyat, termasuk langkah menurunkan harga diesel bersubsidi dan memperkukuh ekonomi negara, Rafizi sebaliknya dilihat memilih untuk terus memainkan politik persepsi.
“Ini menunjukkan keutamaan beliau bukan lagi penyelesaian, tetapi dendam politik yang bersifat peribadi,” katanya.
Beliau turut berpandangan bahawa politik kebencian mungkin mampu mencipta perhatian dan tajuk berita, namun gagal menawarkan penyelesaian kepada masalah sebenar yang dihadapi rakyat, khususnya berkaitan kos sara hidup dan cabaran ekonomi.
“Saya ingin mengingatkan bahawa rakyat Malaysia adalah rakyat yang matang dan bijak. Mereka mampu menilai siapa yang bekerja untuk negara dan siapa yang hanya sibuk menyerang tanpa menawarkan formula.
“Hakikatnya, semakin kuat Rafizi menyerang Anwar, semakin menunjukkan bahawa beliau ketandusan idea dan tidak mempunyai hala tuju yang jelas untuk ‘Parti Kancil’. Politik bukan tentang siapa paling kuat menjerit, tetapi siapa mampu berjuang demi rakyat,” katanya.
Kenyataan AMK itu hadir ketika persaingan politik menjelang PRN Johor semakin memuncak, dengan kemunculan Bersama dijangka menambah dinamika baharu dalam pertandingan di beberapa kerusi negeri itu.
BACA JUGA Jangan jadi ‘drama king’, dedah siapa halang masuk FELDA – Sheikh Omar