Fadhlina berang jadi mangsa video jijik AI, ada cubaan hancurkan maruah

Ketua Wanita PKR, Fadhlina Sidek mengecam penyebaran satu video menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) yang didakwa berniat jahat, berunsur fitnah serta bertujuan menjatuhkan reputasi dirinya.

Dalam satu kenyataan media hari ini, beliau menyifatkan penyebaran video itu sebagai tindakan melampau yang bukan sahaja melanggar batas agama dan akhlak.

Malah, kata Ahli Parlimen Nibong Tebal berkenaan , ia merupakan cubaan terancang untuk membunuh karakter serta mencemarkan kehormatan dirinya sebagai seorang pemimpin wanita.

“Penyebaran video itu jelas melanggar batas agama dan akhlaq serta cubaan untuk menjatuhkan kehormatan dan membunuh karakter saya,” tegasnya.

Beliau yang juga Menteri Pendidikan berkata, satu laporan polis telah dibuat dan menggesa pihak berkuasa menjalankan siasatan segera serta mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang bertanggungjawab mengikut lunas undang-undang.

“Saya juga menyeru agar semua pihak untuk mengambil sikap yang jelas dalam soal fitnah, pembunuhan karakter dan pelecehan seksual terhadap ahli politik wanita.

“Sebuah negara demokrasi yang kuat, tertegak dengan penghormatan terhadap partisipasi dan sumbangan kepimpinan wanita dalam negara,” kata Fadhlina lagi.

BACA JUGA Marzuki bayangkan Pas umpama Lebai Malang