Minyak turun lagi, ada ‘nafas’ baharu buat rakyat
Penurunan harga petrol dan diesel minggu ini dijangka memberi sedikit kelegaan kepada golongan B40, pekerja harian, pemandu e-hailing dan peniaga kecil yang bergantung kepada kenderaan bagi menampung kehidupan seharian.
Bermula hari ini hingga 30 Jun, harga petrol RON97 diturunkan sebanyak 25 sen kepada RM4.10 seliter, manakala harga RON95 tanpa subsidi turut susut 25 sen kepada RM3.47 seliter.
Bagi pengguna diesel di Semenanjung Malaysia, harga runcit bahan api itu diturunkan sebanyak 30 sen kepada RM4.07 seliter.
Walaupun penurunan itu dilihat sederhana, ia dijangka membantu mengurangkan sedikit perbelanjaan harian rakyat, terutama mereka yang menggunakan kenderaan untuk bekerja atau menjalankan perniagaan kecil.
Harga bahan api bersubsidi pula kekal tidak berubah.
RON95 bersubsidi di bawah program BUDI MADANI terus ditawarkan pada RM1.99 seliter, manakala petrol bersubsidi di bawah Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) kekal RM2.05 seliter.
Bagi diesel bersubsidi di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) serta diesel di Sabah, Sarawak dan Labuan, harga dikekalkan pada RM2.15 seliter.
Kementerian Kewangan dalam kenyataannya berkata penurunan harga itu mencerminkan perkembangan pasaran minyak global yang lebih menggalakkan susulan penyederhanaan harga minyak mentah dunia serta perkembangan lebih positif dalam konflik di Asia Barat.
“Kerajaan MADANI akan terus mengambil pendekatan berhemah bagi melindungi rakyat daripada turun naik harga, di samping memastikan bekalan bahan api negara kekal mencukupi dan terjamin,” menurut kenyataan itu.
Penurunan harga kali ini dijangka memberi manfaat langsung kepada jutaan rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah yang berdepan tekanan kos sara hidup, selain membantu mengurangkan sedikit kos operasi sektor pengangkutan dan perusahaan kecil.
Bagi ramai rakyat, khususnya pekerja yang berulang-alik jauh dan golongan yang mencari rezeki di jalan raya, setiap sen penurunan harga bahan api tetap membawa makna kerana ia memberi sedikit ruang untuk bernafas di tengah kos kehidupan yang masih mencabar.
BACA JUGA AMANAH pertahan calon muda di Permas, arah jentera hentikan bantahan dan fokus menang PRN Johor