Puad ‘sekolahkan’ Pemuda Umno Johor: Jangan ajar saya erti setia pada parti!

Bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi membalas kritikan Ketua Pemuda Umno Johor selepas ditegur mengenai soal kesetiaan terhadap parti.

Menerusi satu kenyataan hari ini, Puad membidas Noor Azleen Ambros yang sebelum ini mengingatkannya supaya sentiasa patuh dan setia kepada parti, bukan hanya ketika memegang jawatan atau mengikut keadaan tertentu.

Tegas Puad, kenyataan itu menunjukkan Noor Azleen mungkin lupa bahawa beliau pernah dua kali berada dalam keadaan tanpa jawatan, iaitu selepas tewas pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 dan ketika Barisan Nasional (BN) kehilangan kuasa selepas PRU14.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno itu berkata, pada waktu sukar itulah beliau tetap mempertahankan Umno secara terbuka sehingga pernah disaman RM10 juta oleh Presiden Bersatu, Tan Sri Mahiadddin Yassin yang juga Perdana Menteri kelapan negara ketika itu.

“Setiap hari saya menulis membela parti. Bahkan, podcast saya ‘Jangan Berlapik’ adalah inisiatif sendiri tanpa pembiayaan parti. Maka tidak payahlah mengajar saya bab setia parti,” tegas beliau.

Balaslah kesetiaan

Terdahulu, Noor Azleen mengingatkan semua pemimpin dan anggota Umno supaya terus menunjukkan kesetiaan serta kepatuhan kepada parti tanpa mengira kedudukan atau jawatan yang disandang.

Kata Noor Azleen, kesetiaan kepada parti tidak harus berubah mengikut keadaan semasa, terutama apabila seseorang tidak lagi memegang jawatan dalam parti atau kerajaan.

“Ketika parti junjung kita dengan jawatan, kita patuh dan setia pada parti. Tapi bila parti dah tak lagi junjung kita, kita menidakkan kesetiaan dan kepatuhan pada parti.

“Ketika kita tidak lagi ada apa-apa jawatan, balaslah kesetiaan dan kepatuhan yang parti pernah bagi kepada kita dengan sebaiknya.

“Ketika kita tidak lagi mempunyai apa-apa jawatan, balaslah kepercayaan yang pernah diberikan parti dengan sebaiknya, bukan dengan ugutan atau hasutan,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Mengulas lanjut, Puad yang juga bekas Ahli Parlimen Batu Pahat berkenaan mengingatkan bahawa sebagai orang muda, Noor Azleen mesti faham maksud kesetiaan.

“Saya setia kepada perjuangan parti bukan individu. Tetapi apabila pemimpin jadi boneka, maka saya berhak bersuara untuk selamatkan parti.

“Kalau diam membabi buta, jahanamlah parti. “Kamu orang muda yang bagi contoh salah kepada orang muda tentang makna kesetiaan”,” tempelak Puad lagi.

BACA JUGA Marzuki bayangkan Pas umpama Lebai Malang