Onn nafi dakwaan Puad, akan buat laporan polis

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, menafikan sekeras-kerasnya dakwaan bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi, bahawa beliau pernah memaklumkan kononnya pihak Istana mengarahkan pembubaran Dewan Negeri Johor.

Dalam satu kenyataan hari ini, Onn Hafiz berkata apa yang dijelaskannya kepada Puad ialah pembubaran Dewan Negeri Johor dibuat selepas mendapat titah perkenan DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor, selaras dengan Fasal 23, Bahagian Kedua Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor 1895.

“Apa yang saya jelaskan ialah pembubaran tersebut dibuat setelah mendapat titah perkenan DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor.

“Mendapat titah perkenan ialah satu proses perlembagaan dan sama sekali tidak bermaksud menerima arahan atau campur tangan politik,” katanya.

Beliau berkata, Menteri Besar tidak boleh membubarkan Dewan Negeri Johor sesuka hati kerana tindakan itu perlu melalui proses yang ditetapkan dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor dan hanya berkuat kuasa selepas mendapat perkenan.

Menurut Onn Hafiz, beliau telah mengadap dan mempersembahkan perkara itu sebelum mengumumkan pembubaran Dewan Negeri Johor kepada rakyat secara terbuka.

Sehubungan itu, beliau menyifatkan dakwaan Puad sebagai tidak bertanggungjawab kerana memutarbelitkan proses perlembagaan yang sah sehingga menimbulkan persepsi bahawa Institusi Diraja mencampuri urusan dan keputusan politik Umno Johor.

“Beliau berhak meninggalkan Umno dan berbeza pandangan dengan kepimpinan parti. Namun, kenyataan sedemikian amat serius dan berpotensi menyentuh sensitiviti 3R, khususnya berkaitan Institusi Diraja, selain boleh menjejaskan keharmonian serta ketenteraman awam,” katanya.

Onn Hafiz turut mengumumkan bahawa Umno Johor akan membuat laporan polis berhubung kenyataan tersebut bagi membolehkan siasatan dan tindakan lanjut dijalankan oleh pihak berkuasa.

“Saya menyeru semua pihak supaya menghormati Institusi Diraja, mematuhi Perlembagaan dan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor serta tidak memperalatkan institusi tersebut dalam pertelingkahan politik,” katanya.

Terdahulu, Puad mengumumkan keluar daripada Umno dan mendakwa Onn Hafiz pernah memaklumkan kepadanya bahawa pihak Istana bertitah supaya Dewan Negeri Johor dibubarkan pada 1 Jun lalu, dakwaan yang kini dinafikan secara terbuka oleh Menteri Besar Johor itu.

BACA JUGA Dr Puad Zarkashi umum keluar Umno, dakwa Umno Johor dikawal Istana