“Nak Johor maju? Mat Sabu kata tolak politik kebencian, perkauman”
Rakyat diingatkan supaya tidak membiarkan isu perkauman dijadikan senjata politik semata-mata untuk meraih undi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Presiden AMANAH, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, politik yang memecah-belahkan rakyat tidak akan membawa kemajuan, sebaliknya hanya menanam kebencian dan menggugat perpaduan negara.
“Malaysia dibina atas kekuatan kepelbagaian. Melayu, Cina, India, Orang Asli, Sabah dan Sarawak, kita semua adalah rakyat Malaysia yang berkongsi masa depan yang sama.
“Jangan sesekali membiarkan isu perkauman dijadikan senjata politik semata-mata untuk meraih undi,” katanya dalam satu hantaran di media sosial hari ini.
Mohamad, yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu, berkata Pakatan Harapan (PH) terus mengangkat prinsip keadilan untuk semua kaum tanpa mengira latar belakang.
“Kita percaya setiap rakyat berhak mendapat peluang yang adil, kehidupan yang lebih baik dan masa depan yang lebih cerah,” katanya.
Beliau turut menegaskan Johor dan Malaysia memerlukan politik yang menyatukan rakyat dan bukannya politik yang memecahkan masyarakat berbilang kaum.
“Johor dan Malaysia memerlukan politik yang menyatukan, bukannya politik yang memecahkan. Kita bersaing dengan idea, dasar dan rekod perkhidmatan, bukan dengan meniup sentimen perkauman,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menyeru rakyat menolak politik kebencian dan politik perkauman demi memastikan negara terus menikmati perpaduan dan kestabilan.
“Tolak politik kebencian. Tolak politik perkauman. Pilih perpaduan, kestabilan dan masa depan yang lebih baik untuk semua rakyat Malaysia.
“Johor ke depan, undi Harapan,” katanya.
PRN Johor kali ini menyaksikan isu perpaduan, kos sara hidup dan pembangunan seimbang menjadi antara tema utama yang dibawa parti-parti bertanding dalam usaha meraih sokongan pengundi menjelang hari pengundian pada 11 Julai ini.
BACA JUGA Ketua Penerangan mengaku Pas Lebai Malang