Data tunjuk kurang 1 peratus pengguna RON95 guna lebih 200 liter sebulan

Daripada 14 juta penerima BUDI MADANI RON95 (BUDI95), data menunjukkan secara konsisten kurang daripada 1 peratus pengguna menggunakan lebih daripada 200 liter petrol sebulan.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, maklumat itu diperoleh berdasarkan data penggunaan sebenar dari Oktober 2025 hingga Mei 2026.

Menurutnya, dapatan itu menunjukkan kelayakan 200 liter sebulan mencukupi untuk hampir keseluruhan penerima BUDI95.

“Bagaimanapun, kerajaan menyediakan kelayakan tambahan sebanyak 100 liter yang boleh dipohon, mengambil kira penggunaan jip dan pikap sebagai kenderaan utama peniaga kecil serta penduduk di pedalaman,” katanya pada sesi waktu pertanyaan menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Hasni Mohammad (BN-Simpang Renggam) mengenai rasional pelaksanaan penyasaran subsidi bahan api termasuk penggunaan MyKad serta sama ada kelayakan 200 liter bagi kedua-dua bahan api mencukupi untuk kegunaan rakyat.

Bagi penggunaan diesel pula, statistik Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menunjukkan lebih 80 peratus pengguna mencatat penggunaan di bawah 200 liter sebulan, dengan purata kira-kira 140 liter.

Data DOSM turut menunjukkan 95 peratus pengguna diesel menggunakan kurang daripada jumlah berkenaan, sekali gus menjadikannya mencukupi untuk majoriti rakyat.

BACA JUGA Syiar Islam terus subur, kerajaan tetap bina Masjid Warisan depan Menara TRX