Dalam empat tahun, 20 projek sekolah daif diluluskan untuk Johor oleh Kerajaan Persekutuan

Komitmen Kerajaan MADANI dalam memastikan setiap murid mendapat akses kepada kemudahan pendidikan yang selamat dan berkualiti terus diterjemahkan melalui pelaksanaan projek pembangunan semula bangunan daif di sekolah-sekolah seluruh negara.

Johor antara negeri yang menerima manfaat besar hasil keutamaan yang diberikan terhadap sektor pendidikan.

Menerusi satu kenyataan, Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh, memaklumkan bahawa sejak tahun 2023, Kerajaan Persekutuan telah meluluskan sebanyak 20 projek pembangunan semula bangunan daif di Johor dengan jumlah peruntukan RM241.82 juta.

Daripada jumlah itu, enam projek bernilai RM64.22 juta diluluskan pada tahun 2023, diikuti empat projek bernilai RM56.5 juta pada 2024, lima projek bernilai RM62.1 juta pada 2025 dan lima lagi projek bernilai RM59 juta pada tahun 2026.

Menurut beliau, pencapaian tersebut menunjukkan peningkatan yang amat ketara berbanding tempoh pentadbiran terdahulu.

Pada tahun 2021 dan 2022, hanya satu projek pembangunan semula bangunan daif diluluskan setiap tahun dengan nilai keseluruhan sekitar RM9.98 juta.

Ini bermakna, dalam tempoh empat tahun, Kerajaan MADANI telah meluluskan 20 projek, iaitu sepuluh kali ganda lebih banyak berbanding hanya dua projek dalam tempoh dua tahun sebelumnya.

Wong berkata, pembangunan semula sekolah daif bukan sekadar melibatkan pembinaan bangunan baharu, malah mencerminkan iltizam kerajaan untuk memastikan murid dan guru menikmati persekitaran pembelajaran yang lebih selamat, kondusif dan selaras dengan keperluan pendidikan masa kini.

Beliau turut menyorot projek pembangunan semula bangunan daif di Sekolah Kebangsaan Sungai Tiram, Pasir Gudang, yang menerima peruntukan RM38 juta di bawah Rolling Plan 3 (RP3) Rancangan Malaysia Ke-12 pada tahun 2023.

Projek itu melibatkan pembinaan semula bangunan daif yang menempatkan bilik darjah, bilik kaunseling, bilik pemulihan, bilik kesihatan, bilik prasekolah dan kantin, selain pembinaan blok tambahan yang mengandungi 12 bilik darjah, lima bilik Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) serta sebuah lagi bilik prasekolah.

Ketika ini, projek tersebut berada di peringkat perolehan tender.

Beliau menegaskan bahawa pembangunan infrastruktur pendidikan merupakan pelaburan jangka panjang demi memastikan setiap anak di Johor mendapat peluang belajar dalam persekitaran yang lebih berkualiti, selamat dan selesa, sejajar aspirasi Kerajaan MADANI untuk mengangkat mutu pendidikan negara.

BACA JUGA Ketika pengkritik masih berpolitik, Anwar pula bawa pulang hasil besar untuk Malaysia