Nak tanam bawang? Kerajaan kini tawar bantuan sehingga RM50,000 sehektar
Kerajaan kini mempergiat usaha membangunkan industri bawang tempatan dengan menawarkan insentif sehingga RM50,000 bagi setiap hektar kepada petani yang mahu menceburi penanaman bawang secara komersial.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, langkah itu merupakan sebahagian daripada strategi kerajaan untuk mengurangkan kebergantungan negara terhadap import bawang dan meningkatkan pengeluaran tempatan dalam tempoh lima tahun akan datang.
Jelasnya, kementerian menyasarkan Kadar Sara Diri (SSR) bawang merah kecil meningkat kepada 30 peratus menjelang tahun 2030 sebagai usaha memperkukuh keterjaminan makanan negara.

“Hari ini di Dewan Rakyat, saya menjawab soalan berkaitan keluasan tanaman bawang tempatan serta insentif yang disediakan kerajaan bagi menggalakkan penanaman bawang secara komersial.
“Usaha meningkatkan pengeluaran bawang tempatan adalah antara keutamaan kementerian supaya negara tidak terlalu bergantung kepada import,” katanya menerusi hantaran di Facebook beliau.
Mohamad berkata, sepanjang 2024 hingga 2025, sebanyak 155.29 hektar kawasan tanaman bawang merah kecil berjaya dibangunkan di seluruh negara dengan pengeluaran mencecah 135.29 tan metrik.
Bagi tahun 2025, lima negeri dikenal pasti paling aktif membangunkan industri berkenaan iaitu Selangor, Kelantan, Perak, Terengganu dan Perlis.
Dalam masa sama, Mohamad memaklumkan bahawa kerajaan akan memperluaskan lagi projek berkenaan pada tahun depan dengan tambahan 61.18 hektar kawasan penanaman baharu di seluruh negara.
Menurutnya, insentif yang disediakan di bawah Program Pembangunan Industri Bawang Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) merangkumi pembangunan infrastruktur ladang, penyediaan input pertanian, mesin, peralatan serta pengeluaran benih bawang berkualiti oleh Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI).
Tambahnya, kerjasama erat antara kerajaan, sektor swasta dan komuniti petani diyakini mampu memperkukuh industri bawang tempatan sekali gus meningkatkan pendapatan petani serta menjamin bekalan makanan negara pada masa depan.
BACA JUGA Salahkah saya cadangkan anak sebagai calon? Kenapa jadi isu? – Puad balas Asyraf