Guna logo sama tetapi Pas tak mahu tolong kempen untuk Bersatu

Kerjasama dalam Perikatan Nasional (PN) di Johor dilihat semakin longgar apabila Pas mengesahkan tidak akan berkempen untuk calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16, meskipun kedua-dua parti menggunakan logo yang sama.

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, kedua-dua parti juga akan menjalankan kempen secara berasingan sepanjang tempoh PRN tersebut.

Ketika ditanya mengenai keputusan itu, beliau memberi bayangan hubungan Pas dan Bersatu ketika ini belum kembali pulih sepenuhnya.

“Kerana dia (Bersatu) mendesak nak logo (PN) itu juga dan kita tak pecat dia lagi,” katanya kepada pemberita selepas kuliah duha di Masjid Rusila, di sini, hari ini.

Rakaman sidang media itu turut dimuat naik menerusi akaun Facebook beliau.

Ditanya mengenai sasaran Pas dalam PRN Johor, Abdul Hadi berkata parti itu menyasarkan untuk menjadi pembangkang di negeri berkenaan.

“Jadi pembangkanglah… penasihat kepada kerajaan (negeri),” katanya.

Bagaimanapun, beliau berharap kesemua 11 calon Pas yang bertanding mampu mencapai kemenangan.

Menurutnya, perkara yang lebih penting ialah memastikan kerajaan negeri selepas PRN nanti diterajui oleh pemimpin Melayu-Islam.

“Kita tak mahu Johor dikuasai oleh puak-puak liberal, bukan Islam. Biar orang Islam yang memerintah Johor, itu yang penting,” katanya.

Malam tadi, Pas mengumumkan akan bertanding di 11 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), berkurangan berbanding 16 kerusi yang ditandingi pada PRN lalu.

Sebelas kerusi tersebut ialah Jementah, Tenang, Maharani, Sungai Balang, Semerah, Seri Medan, Endau, Tiram, Pasir Raja, Kahang dan Simpang Jeram.

PRN Johor kali ini menyaksikan hubungan antara Pas dan Bersatu terus menjadi perhatian selepas kedua-dua parti dilihat mengambil pendekatan berasingan meskipun masih menggunakan simbol Perikatan Nasional dalam pilihan raya berkenaan.

BACA JUGA PRN Johor: Ini kenapa PH nampak lebih bersedia, BN & PN bergelora