Puteri Umno setuju dengan Puad: Orang muda tak boleh asyik jadi penonton
Di sebalik kontroversi pengunduran Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi daripada Umno, Ketua Puteri Umno, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi, menyifatkan bekas pemimpin itu mempunyai pandangan yang wajar dipertimbangkan berhubung keperluan membuka lebih banyak ruang kepada golongan muda dalam parti.
Beliau berkata, usaha meremajakan parti perlu diteruskan memandangkan landskap politik hari ini menyaksikan jumlah pengundi muda semakin besar dan mereka mahu melihat pemimpin daripada generasi sendiri diberi peluang untuk tampil ke hadapan.
“Ketika ini, jumlah pengundi muda di negara kita sangat tinggi dan mereka mahu melihat wakil daripada kalangan mereka diberi peluang untuk memimpin,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Semalam, Puad menolak dakwaan Setiausaha Agung Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, bahawa keputusannya keluar parti berpunca daripada kegagalan mendapatkan pencalonan untuk anaknya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Rengit.
Sebaliknya, bekas Speaker DUN Johor itu menegaskan tindakannya merupakan protes terhadap sistem pemilihan calon yang diamalkan Barisan Nasional (BN).
Mengulas isu peremajaan parti, Nurul Amal berkata calon BN bagi DUN Serom, Nadhirah Afiqah Rahim atau lebih dikenali sebagai Iqa Rahim, merupakan contoh pemimpin muda yang telah melalui proses pembinaan kepimpinan dalam Puteri Umno.
Menurut beliau, Iqa kini memegang jawatan Exco Puteri Umno Malaysia yang mengetuai Biro Pendidikan dan pernah berkhidmat sebagai Ketua Puteri Umno Bahagian Ledang sejak 2018.
“Iqa bukan sekadar anak kepada Ketua Bahagian, tetapi seorang pemimpin muda yang telah melalui proses kepimpinan dalam Puteri Umno.
“Malah, beliau menang bertanding dalam pemilihan parti, bukan dilantik, sebelum bapanya bergelar Ketua Umno Bahagian Ledang,” katanya.
Sehubungan itu, Nurul Amal berpandangan lebih banyak ruang perlu diberikan kepada generasi muda untuk tampil sebagai pelapis kepimpinan parti.
“Apa gunanya sayap dalam parti jika hanya dilatih tetapi tidak diberi peluang untuk memimpin. Ruang seharusnya dibuka demi peremajaan parti,” katanya.
Kenyataan Ketua Puteri Umno itu dilihat sebagai sokongan terhadap idea yang dibangkitkan Puad mengenai keperluan memberi ruang kepada generasi muda, meskipun beliau tidak menyentuh secara langsung keputusan bekas pemimpin itu meninggalkan parti.
BACA JUGA RENCANA | PRN Johor 2026: Politik Melayu di persimpangan baharu