Anak muda perlu jadi pencetus perubahan alam sekitar, kata Syed Ibrahim
Masa depan kelestarian negara tidak boleh digalas oleh kerajaan semata-mata, sebaliknya memerlukan generasi muda tampil sebagai pencetus perubahan di peringkat akar umbi.
Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Syed Ibrahim Syed Noh berkata, kejayaan agenda kelestarian negara bergantung kepada sejauh mana rakyat, khususnya golongan muda, diberi ruang untuk memimpin perubahan dalam masyarakat.
“Ramai bercakap tentang masa depan alam sekitar, tetapi masa depan itu sebenarnya sedang dibentuk oleh anak-anak muda hari ini.
“Sebab itu kita tidak mahu mereka hanya menjadi pendengar kepada isu kelestarian, tetapi menjadi individu yang menggerakkan penyelesaiannya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Penutupan Kem Duta Muda Alam Daerah Tangkak di Taman Negara Johor Gunung Ledang (Lagenda), hari ini.
Program berkenaan menghimpunkan wakil guru dan pelajar daripada 16 sekolah menengah di daerah itu sebagai kumpulan perintis Duta Muda Alam sebelum mereka melaksanakan pelbagai projek amalan hijau di sekolah masing-masing sehingga Ogos depan.
Bagi memastikan idea yang dicetuskan dapat diterjemahkan kepada tindakan sebenar, setiap sekolah turut menerima dana pelaksanaan sebagai pemangkin kepada inisiatif kelestarian di peringkat sekolah.
Menurut Syed Ibrahim, Program Duta Muda Alam diwujudkan bukan sekadar untuk meningkatkan kesedaran mengenai isu alam sekitar, tetapi bagi membentuk generasi muda yang memahami bahawa pembangunan dan pemeliharaan alam sekitar perlu bergerak seiring.
Beliau berkata pendekatan berasaskan tindakan, kepimpinan belia dan pelaksanaan projek sebenar yang diterapkan melalui program itu berpotensi melahirkan lebih ramai pemimpin muda yang peka terhadap isu kelestarian.
Program Duta Muda Alam merupakan hasil kerjasama strategik antara Yayasan Hijau Malaysia, Malaysian Green Technology and Climate Change Corporation (MGTC), Centre for Education and Training in Renewable Energy, Energy Efficiency and Green Technology (CETREE), Jabatan Alam Sekitar (JAS) serta Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Tangkak.
Menurut beliau, model yang dilaksanakan di Tangkak itu berpotensi diperluaskan ke lebih banyak sekolah dan daerah pada masa hadapan bagi memperkukuh budaya kelestarian dalam kalangan generasi muda.
“Matlamat kita adalah melahirkan lebih ramai anak muda yang bukan sahaja memahami isu alam sekitar, tetapi mampu menjadi pencetus perubahan di sekolah, komuniti dan negara,” katanya.
BACA JUGA KPKT bukan sekadar bagi rumah, tapi ajar rakyat jana duit daripada sisa buangan