Ada kereta diesel nama mak ayah? Kerajaan kini bagi ‘jalan mudah’ tuntut subsidi

Kerajaan mengumumkan beberapa penambahbaikan terhadap pelaksanaan subsidi bersasar BUDI Diesel, termasuk membenarkan kelayakan subsidi dipindahkan kepada ahli keluarga terdekat yang menjadi pengguna sebenar kenderaan diesel.

Langkah itu diumumkan menjelang pelaksanaan akses awal BUDI Diesel yang bermula hari ini, 27 Jun, bagi pengguna kenderaan diesel persendirian yang layak di Semenanjung Malaysia.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, keputusan itu dibuat selepas kerajaan mengadakan beberapa sesi libat urus bersama rakyat, peniaga kecil, pemegang taruh dan agensi pelaksana susulan pengumuman peralihan kepada sistem subsidi bersasar BUDI MADANI Diesel pada 22 Jun lalu.

Menurut beliau, kerajaan mengambil kira pelbagai rayuan yang diterima, termasuk situasi kenderaan diesel digunakan oleh individu lain tetapi masih didaftarkan atas nama ahli keluarga terdekat.

“Peralihan kepada BUDI Diesel adalah untuk memastikan subsidi diesel sampai kepada rakyat Malaysia yang layak, di samping menutup ruang ketirisan yang telah merugikan negara berbilion ringgit setiap tahun.

“Setelah mendengar maklum balas dan rayuan rakyat, Kerajaan MADANI bersetuju melaksanakan penambahbaikan ini bagi melancarkan pelaksanaan BUDI Diesel,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Selain itu, kerajaan turut mengumumkan pengecualian fi tukar hak milik (THM) bagi kenderaan diesel selama tiga bulan bermula 1 Julai ini.

Program yang dilaksanakan menerusi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) itu melibatkan pengecualian fi yang ketika ini boleh mencecah sehingga RM100 bergantung kepada jenis kenderaan dan lokasi pendaftaran.

Langkah itu bertujuan memudahkan pemilik dan pengguna sebenar mengemas kini rekod pemilikan kenderaan, memandangkan data pemilikan dan cukai jalan aktif menjadi antara syarat utama kelayakan BUDI Diesel.

Bagi melancarkan urusan orang ramai, JPJ juga akan membuka kaunter perkhidmatan pada hujung minggu dari 4 hingga 26 Julai ini, bermula jam 8 pagi hingga 5 petang di semua pejabat JPJ negeri dan JPJ UTC.

Kaunter tersebut akan mengendalikan urusan berkaitan permohonan BUDI Diesel, tukar hak milik kenderaan, pembaharuan cukai jalan serta perkhidmatan JPJ lain.

Dalam perkembangan sama, Jemaah Menteri turut bersetuju memperluaskan BUDI Diesel kepada kenderaan persendirian milik syarikat bagi kategori pikap dan jip.

Perluasan itu dijangka memberi manfaat kepada peniaga kecil dan pengguna yang menggunakan kenderaan diesel bagi tujuan perniagaan, perjalanan harian serta aktiviti di kawasan luar bandar dan pedalaman.

Pemilik kenderaan dalam kategori berkenaan boleh membuat semakan dan permohonan melalui portal rasmi BUDI MADANI selepas sistem dikemas kini.

Bermula hari ini, pengguna kenderaan diesel persendirian yang layak di Semenanjung Malaysia boleh membeli diesel bersubsidi pada harga RM2.15 seliter menerusi pengesahan MyKad di stesen minyak yang mengambil bahagian.

Pelaksanaan penuh BUDI Diesel pula akan bermula pada 1 Julai depan dengan harga diesel bersubsidi RM2.10 seliter bagi rakyat Malaysia yang layak.

Kementerian Kewangan memaklumkan bahawa penerima sedia ada BUDI Diesel Individu telah menerima bantuan tunai RM400 pada awal Jun lalu dan kini turut boleh menikmati pembelian diesel bersubsidi melalui mekanisme baharu itu.

Pemilik kenderaan diesel persendirian boleh menyemak status kelayakan serta had kelayakan bulanan menerusi portal rasmi BUDI MADANI di www.budimadani.gov.my.

BACA JUGA Isu Rohingya, Kabinet arah KDN cari jalan penyelesaian