Anak Presiden sedang disusun jadi MB Terengganu, dakwa penyokong Pas

Seorang penyokong Pas mendakwa wujud usaha tersusun untuk meletakkan anak Presiden Pas sebagai Menteri Besar Terengganu pada masa depan, sekali gus memastikan pengaruh Pejabat Presiden terus kekal dominan dalam parti itu.

Dakwaan tersebut dibuat menerusi satu hantaran media sosial yang tular sejak semalam, yang turut mempersoalkan beberapa keputusan pelantikan dalam kepimpinan Pas kebelakangan ini.

Menurut individu berkenaan, pelantikan anak Presiden Pas sebagai Timbalan Pesuruhjaya Pas Terengganu dilihat sebagai sebahagian daripada “langkah strategik” bagi mengukuhkan pengaruh kelompok tertentu dalam parti.

Beliau mendakwa, kedudukan Pesuruhjaya Pas Terengganu ketika ini tidak dilihat sebagai halangan kerana pemimpin berkenaan tidak bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), manakala beberapa tokoh lain dalam kepimpinan negeri dikatakan telah “dilemahkan”.

“Maka jika pilihan raya akan datang berlaku, Pejabat Menteri Besar Terengganu telah dikuasai dari awal,” dakwanya.

Penyokong itu turut mendakwa, pelantikan anak Presiden Pas sebagai Ketua Penerangan Pas Pusat sebelum ini juga merupakan sebahagian daripada perancangan yang lebih besar, termasuk membuka laluan untuk beliau bertanding kerusi DUN dan Parlimen pada pilihan raya akan datang.

Beliau turut mengaitkan isu tersebut dengan pelantikan anak Presiden Pas sebagai anggota baharu Majlis Syura Ulama, yang menurutnya pernah menimbulkan rasa tidak senang dalam kalangan beberapa pemimpin kanan parti.

Menurut dakwaan itu lagi, terdapat tokoh dalam Majlis Syura dan kepimpinan lama parti yang tidak bersetuju dengan pelantikan berkenaan, namun pandangan mereka dikatakan tidak lagi diberi perhatian.

“Kenapa saya berani bersuara? Sebab kegilaan yang berlaku memerlukan keberanian untuk membaikinya,” katanya.

Bagaimanapun, individu berkenaan tidak mengemukakan sebarang bukti bagi menyokong dakwaan mengenai perancangan untuk meletakkan anak Presiden Pas sebagai Menteri Besar Terengganu.

Setakat ini, tiada sebarang kenyataan rasmi dikeluarkan oleh kepimpinan Pas berhubung dakwaan tersebut.

Terengganu kini diterajui Pas selepas parti itu memenangi majoriti besar dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) 2023 dan membentuk kerajaan negeri di bawah pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Dakwaan mengenai percaturan dalaman parti itu muncul ketika Pas berdepan pelbagai spekulasi mengenai hala tuju kepimpinan dan persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

BACA JUGA Ada kereta diesel nama mak ayah? Kerajaan kini bagi ‘jalan mudah’ tuntut subsidi