Jualan Agro MADANI bantu rakyat berjimat hingga 30 peratus
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu hari ini turun padang menyantuni penduduk di DUN Permas menerusi program Jualan Agro MADANI yang menawarkan pelbagai barangan keperluan harian pada harga lebih rendah daripada pasaran.
Mohamad, yang mesra disapa Bang Mat, berkata sambutan orang ramai terhadap program itu amat menggalakkan apabila ramai penduduk hadir seawal pagi untuk mendapatkan barangan keperluan pada harga berpatutan.
“Pagi ini Bang Mat turun walkabout Jualan Agro MADANI di DUN Permas. Alhamdulillah, ramai yang datang membeli dan kita dapat bersembang sendiri dengan penduduk,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Menurut beliau, Jualan Agro MADANI merupakan inisiatif Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) bagi membantu rakyat mendapatkan barangan keperluan harian pada harga antara 10 hingga 30 peratus lebih murah berbanding harga pasaran.
Katanya, penjimatan yang dinikmati rakyat melalui program berkenaan mampu mengurangkan sedikit beban kos sara hidup yang sedang dihadapi oleh ramai keluarga.
“Bagi Bang Mat, kalau rakyat boleh berjimat walaupun sedikit setiap kali membeli, itu sudah cukup memberi makna kepada sebuah keluarga,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan hari ini tidak sekadar mengumumkan pelbagai inisiatif untuk membantu rakyat, sebaliknya terus melaksanakan program yang memberi manfaat secara langsung kepada masyarakat.
“Kerajaan MADANI bukan sekadar bercakap, tetapi terus bekerja. Banyak inisiatif telah dilaksanakan untuk membantu rakyat menghadapi kos sara hidup dan Jualan Agro MADANI adalah salah satu daripadanya,” katanya.
Mohamad turut memberi jaminan bahawa kementeriannya akan terus memperluaskan program yang memberi manfaat kepada rakyat, khususnya dalam usaha memastikan bekalan makanan negara kekal terjamin dan rakyat dapat menikmati harga yang lebih berpatutan.
Program Jualan Agro MADANI merupakan antara inisiatif kerajaan bagi membantu rakyat mendapatkan barangan keperluan asas pada harga lebih rendah di samping menyokong agenda keterjaminan makanan negara.
BACA JUGA Ada kereta diesel nama mak ayah? Kerajaan kini bagi ‘jalan mudah’ tuntut subsidi