Manifesto PH Johor kali ini tak setebal buku, janji lebih ringkas dan ‘boleh buat’

Pakatan Harapan (PH) Johor dijangka tampil dengan manifesto Pilihan Raya Negeri (PRN) yang lebih ringkas, praktikal dan dekat dengan kehidupan rakyat, meninggalkan pendekatan lama yang terlalu idealistik dan sarat dengan pelbagai janji.

Ketua Setiausaha PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, draf akhir manifesto itu telah diteliti dan dijangka dimuktamadkan Isnin ini sebelum dilancarkan secara rasmi.

“Saya dah teliti draf akhir. Masih ada penambahbaikan dan akan dimuktamadkan dalam beberapa hari ini.

“Saya dengan Datuk Seri Amirudin Shari sudah bersama sejak 1999, 2004, 2008, 2013, 2018, 2022 dan sekarang. Pengalaman itu banyak mengajar kami dalam menyediakan manifesto,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Menurut Saifuddin, pengalaman mengharungi beberapa pilihan raya sebelum ini memberi pengajaran besar kepada PH mengenai keperluan menyediakan manifesto yang lebih realistik dan mudah difahami rakyat.

Katanya, pada masa lalu PH cenderung menghasilkan manifesto yang terlalu idealistik sehingga merangkumi terlalu banyak perkara dalam dokumen yang panjang dan kompleks.

“Dulu kami terlalu idealis dalam menyediakan manifesto sehingga kadang-kadang mencecah ratusan muka surat dan cuba merangkumi pelbagai perkara.

“Tetapi lama-kelamaan kami belajar daripada kelemahan itu dan menjadi lebih realistik serta praktikal. Manifesto biarlah sesuatu yang rakyat boleh faham, boleh kaitkan dengan kehidupan mereka dan disampaikan dalam bahasa yang mudah,” katanya.

Beliau berkata, manifesto kali ini akan memberi tumpuan kepada beberapa teras utama termasuk kestabilan ekonomi, kebajikan rakyat, kestabilan politik, tadbir urus yang baik dan usaha meningkatkan hasil negeri.

Menurutnya, PH juga mahu memastikan hasil negeri dapat diagihkan secara adil kepada rakyat selain mengangkat budaya politik yang berteraskan prestasi dan bukannya sentimen perkauman atau identiti.

“Manifesto ini mencakupi semua perkara, daripada kestabilan dan kemakmuran ekonomi, kebajikan rakyat, kestabilan politik, tadbir urus yang baik, meningkatkan hasil negeri serta menjamin pengagihan yang adil kepada rakyat.

“Kita juga mahu mewujudkan politik yang berasaskan prestasi dan mengelakkan politik identiti kerana politik identiti tidak ada pemenang. Sebaliknya, ia hanya menimbulkan ketegangan dan saling tidak percaya,” katanya.

Bagaimanapun, Saifuddin enggan mendedahkan lebih lanjut kandungan manifesto berkenaan bagi mengelakkan butiran tawaran kepada rakyat terbocor sebelum pelancarannya.

“Itu baru sedikit gambaran. Saya tak mahu bercakap lebih kerana nanti semuanya bocor.

“Apa yang pasti, manifesto ini disampaikan dalam gaya yang lebih ringkas tetapi tidak berkompromi daripada segi tawaran kepada rakyat,” katanya.

PRN Johor kali ini menyaksikan PH bertanding di kesemua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan gabungan itu meletakkan sasaran untuk menawarkan sebuah kerajaan negeri yang lebih stabil, berprestasi dan berpaksikan kebajikan rakyat.

BACA JUGA ‘Dekati rakyat dengan hati yang ikhlas’, pesan PMX kepada calon PH Johor