Pas alih jentera, calon Bersatu kini kena berkempen sendiri?

Hubungan Pas dan Bersatu dalam Perikatan Nasional (PN) dilihat semakin renggang apabila Pas mengarahkan jenteranya yang berada di kerusi ditandingi Bersatu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor supaya berpindah dan bertugas di kawasan ditandingi Pas serta parti komponen PN yang lain.

Arahan itu diumumkan Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari menerusi hantaran di Facebook hari ini.

“Jentera Pas kawasan dan DUN ditandingi Bersatu PRN Johor diarah bertugas di DUN ditandingi Pas dan parti komponen PN yang lain,” katanya ringkas.

Arahan terbaharu itu hadir sehari selepas Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mengesahkan parti itu tidak akan menggunakan jentera pilihan rayanya untuk membantu kempen calon-calon Bersatu dalam PRN Johor.

Hadi sebelum ini turut menjelaskan bahawa “perceraian” antara Pas dan Bersatu, termasuk keputusan menggerakkan jentera kempen secara berasingan, bukanlah satu strategi politik untuk mengukuhkan PN menjelang pilihan raya.

Menurutnya, Pas telah membatalkan kerjasama politik dengan Bersatu, namun parti pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin itu masih belum dipecat daripada gabungan PN.

Perkembangan itu sekali lagi menimbulkan tanda tanya mengenai masa depan PN, terutama apabila dua parti teras gabungan tersebut kini dilihat bergerak secara berasingan meskipun masih menggunakan logo yang sama dalam PRN Johor.

Pada PRN Johor kali ini, Pas bertanding di 11 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), manakala Bersatu bertanding di 16 kerusi atas tiket PN.

Turut bertanding di bawah gabungan itu ialah Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) di lima kerusi dan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) di satu kerusi.

Arahan pengunduran jentera Pas daripada kerusi ditandingi Bersatu dijangka memberi cabaran tambahan kepada calon-calon Bersatu yang kini perlu bergantung kepada kekuatan jentera sendiri dan sokongan parti-parti komponen lain sepanjang tempoh kempen.

Situasi itu juga dijangka terus menjadi perhatian sepanjang PRN Johor kerana ia menggambarkan keretakan yang semakin terbuka dalam hubungan antara Pas dan Bersatu, walaupun kedua-duanya masih berada di bawah payung Perikatan Nasional.

BACA JUGA Kemenangan PH di Johor Penting Perkukuh Laluan Anwar Ke Penggal Kedua – Suhaizan